Sunday 10 June 2018

SYARAT MENENTUKAN JATUH HUKUM KAFIR

Beberapa syarat pengkafiran. Para ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah amat berwaspada dalam menghukum kafir terhadap seseorang individu muslim. Mereka telah menggariskan beberapa syarat yang perlu diperhatikan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum kafir. Syarat-syarat tersebut adalah:

Pertama: Baligh dan berakal. Orang yang belum baligh (kanak-kanak) dan orang yang tidak sempurna akalnya tidak dijatuhkan hukuman. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Diangkat pena (tidak dicatit kesalahan) dari tiga orang, anak kecil hingga baligh, orang tidur hingga terbangun dan orang gila hingga sedar."  (Hadis riwayat Abu Daud)

Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni berkata: "Hukum murtad tidak berlaku bagi orang yang tidak berakal seperti anak kecil, orang gila,  atau orang yang hilang kesedaran akibat pengsan, tidur, sakit, dan minum ubat yang boleh diminum.

Kedua: Perbuatan kafir dilakukan dengan sengaja. Ucapan atau perbuatan yang membawa kepada kekafiran hendaklah dilakukan dengan kerelaan hati atau kehendak sendiri. Ia bukan satu perbuatan yang terpaksa, tak sengaja, terlanjur atau di luar kawalan seperti disebabkan oleh kegembiraan atau kesedihan yang amat sangat.

Allah SWT berfirman: "Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu untuk melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Ahzab, ayat 5) 

Firman Allah SWT: "Sesiapa yang kafir kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kafir) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman." (Surah an-Nahl, ayat 106) 

Sabda Nabi SAW: "Allah sangat gembira tatkala hamba-Nya bertaubat, melebihi kegembiraan di antara kalian yang kehilangan kenderaannya di padang pasir yang membawa makanan dan minumannya. Maka apabila dia telah berputus asa darinya (mencari kenderaanya tunggangannya itu) lalu dia mendatangi sebuah pohon untuk berteduh, dalam keadaan putus asa tiba-tiba kenderaan itu berdiri di sisinya. Maka langsung dia pegang talinya dengan rasa gembira lalu berkata : “Ya Allah, Engkau hambaku dan aku adalah tuhan Mu.” Dia salah dalam berkata kerana kegembiraan." (Hadis riwayat Muslim) 

Ketiga: Ditegakkan hujah ke atasnya. Tidak boleh menghukum kafir ke atas seseorang selagi mana belum ditegakkan hujah ke atasnya bahawa perbuatannnya boleh mengakibatkan kekafiran. Lebih dari itu, hujah yang ditegakkan hendaklah dalam bentuk yang jelas dan padu, lengkap dengan dalil-dalilnya, sehingga dia dapat memahaminya dengan baik.

Berkata Ibnu Taymiyah dalam Majmu al-Fatawa: "Ucapan (yang mengakibatkan) kafir mungkin saja datang dari orang yang belum sampai kepadanya nas (hujah dan dalil) untuk mengenali kebenaran. Atau boleh jadi telah sampai (nas tersebut) tetapi hujah tersebut dipandang tidak benar atau belum mungkin baginya untuk memahaminya atau ada syubhat dalam proses memahami kebenaran. Maka dalam kondisi seperti ini Allah memaafkan. Inilah manhaj para sahabat dan para ulama sunnah.

Ibnu Taymiyah dalam Majmu al-Fatawa: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya secara mutlak dan tidak tahu kebenaran secara rinci, tidak boleh dihukum kafir sehingga telah ditegakkan hujah bahawa tindakannya tersebut kafir. Sebab banyak orang terkadang salah dalam memahami al-Quran atau salah tafsir, maka kesalahan dan lupa diangkat dari umat ini dan penghukuman kafir hanya terjadi setelah ada penjelasan.

Allah SWT berfirman: "Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Surah al-Isra, ayat 15) 

Firman Allah SWT bermaksud: "Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah an-Nisa, ayat 165) 

Abdullah bin Auf pernah menceritakan: "Tatkala Muadz datang dari Syam, beliau terus sujud kepada Nabi. Maka Nabi bertanya: “Apa yang kamu lakukan wahai Muadz?” Dia berkata: “(Apabila) saya sampai ke Syam, saya dapati mereka bersujud kepada para rahib dan pendeta mereka, (maka) saya suka bila seperti itu saya dapat lakukan untukmu.”

Rasulullah SAW menjawab: “Janganlah kamu lakukan sedemikian, sebab seandainya aku membenarkan orang sujud kepada selain Allah, nescaya aku akan suruh wanita sujud kepada suaminya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah) 

Dalam hadis di atas, tindakan Muadz yang sujud kepada Nabi SAW adalah satu tindakan yang jelas salah. Akan tetapi baginda tidak menjatuhkan hukum kepada Muadz, sebaliknya menerangkan kepada beliau, yakni menegakkan hujah, bahawa tindakan tersebut tidak dibolehkan.

Syarat yang ketiga ini adalah penting, khasnya orang Islam minoriti yang tinggal di sebuah negara bukan Islam. Sukar bagi mereka mempelajari ilmu-ilmu Islam kerana berjauhan dari ulama, sukar untuk mendapatkan sumber ilmiah tentang Islam dan masyarakat Islam di sekelilingya juga terdiri dari mereka yang kurang pengetahuannya dalam hal-hal agama. 

Maka orang Islam minoriti ini tidak dihukumkan kafir seandainya melakukan perbuatan yang pada asalnya boleh membawa kepada kekafiran.

Tidak ketinggalan ialah orang Islam yang duduk di dalam negara yang majoriti penduduknya adalah orang Islam. Akan tetapi mereka tetap terhindar daripada ilmu-ilmu agama yang sebenar disebabkan beberapa faktor penghalang seperti para ulama yang tidak jujur mahupun memiliki ilmu yang sahih. Mereka ini juga tidak dihukum kafir seandainya melakukan perbuatan yang pada asalnya boleh membawa kepada kekafiran.

Ini kerana Allah SWT telah berfirman: "Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaran-Nya) serta taatlah (akan perintah-perintah-Nya)." (Surah at-Taghaabun, ayat 16) 

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, - merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya." (Surah al-Araaf, ayat 42) 

Berdasarkan ayat-ayat di atas, Allah SWT tidak membebani seseorang melainkan yang terdaya olehnya. Oleh itu seandainya seseorang itu telah berusaha sedaya upaya untuk mencari kebenaran dalam Islam namun masih terdapat kekurangan atau kesilapan tanpa disengajakan, sehingga dia melakukan perbuatan yang kafir, Allah SWT tidak akan menghukumnya, malah mengampuni kesalahannya.

Keempat: Perbuatan diukur dari segi zahirnya. Setiap orang Islam diadili berdasarkan apa yang terlihat pada zahir dirinya. Antara kaedah yang penting di sini adalah: “Sesungguhnya hukum-hukum itu dilihat dari zahirnya dan Allahlah yang akan menghukumi batinnya.”

Ini sebagaimana firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman" (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal)." (Surah an-Nisa, ayat 94) 

Senada dengan ayat di atas adalah hadis berikut dari Usamah bin Zaid radhiallahu: Rasulullah SAW pernah menghantar kami pada satu peperangan, pada pagi hari kami menyerbu al-Huraqaat (nama sebuah kabilah) dari kabilah Juhainah. Maka aku bertemu dengan seorang lelaki lalu dia berkata: “Laa ilaha illallah” kemudian aku menusuknya (membunuhnya).

Akan tetapi aku merasa ada sesuatu dalam hatiku dari kejadian itu, lalu aku menceritakannya kepada Rasuliullah SAW.  Maka baginda berkata: “Apakah dia telah mengatakan Laa ilaha illallah kemudian kamu membunuhnya?” Aku menjawab: “Ya wahai Rasulullah, sesungguhnya dia mengatakan hal itu hanya kerana takut kepada pedangku.

Baginda bertanya (menandakan kesalahan tindakan Usamah): “Tidakkah kamu membelah dadanya sehingga kamu mengetahui apakah benar-benar dia mengatakannya (dengan jujur) atau tidak?” (Hadis riwayat Muslim) 

Berdasarkan ayat dan hadis di atas, maka sewajarnya bagi kita tidak bermudah-mudah dalam mengkafirkan orang lain selagi mana zahirnya masih menunjukkan bahwa dia seorang muslim. Sebagai contoh, tidak sewajarnya kita mengkafirkan pemerintah yang tidak melaksanakan hukum hudud atau bertindak zalim selagi mana pada dirinya terdapat ciri-ciri orang Islam, khasnya ciri mendirikan sembahyang.

Sabda Nabi SAW: "Akan ada sepeninggalku nanti pemimpin (yang) kalian mengenalnya dan mengingkari (kezalimannya), maka barangsiapa mengingkarinya (bererti) dia berlepas diri dan barangsiapa membencinya (bererti) dia selamat. Akan tetapi barangsiapa yang meredhainya (bererti) mengikutinya. Para sahabat bertanya: “Apakah tidak kita perangi mereka (pemimpin tersebut)?” Baginda menjawab: “Jangan, selagi mana mereka masih sembahyang.” (Hadis riwayat Muslim) 

Kelima: Kekafiran memiliki cabang-cabangnya. Sebagaimana iman memiliki cabang-cabangnya, kekafiran juga memiliki cabang-cabangnya. Di antara cabang-cabang kekafiran ada yang boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari Islam dan ada yang tidak. 

Contohnya mengatakan Nabi Isa ‘alaihi salam adalah anak tuhan atau tuhan itu bertiga (Trinity) jelas mengeluarkan pelakunya dari agama Islam. 

Manakala peminum arak atau penzina hanya dihukum sebagai seorang yang fasiq (pelaku dosa besar), namun tidak mengeluarkannya dari Islam selagi mana dia tidak menghalalkan perbuatannya itu.

Oleh itu seseorang yang terdapat dalam dirinya beberapa perbuatan dari cabang-cabang kekafiran, dia tidak boleh dihukum kafir secara mutlak dan tidak pula boleh dinamakan mukmin secara mutlak walaupun dirinya beriman kepada Allah ’Azza wa Jalla. Yang benar dia masih seorang muslim. 

Ini sebagaimana Firman Allah SWT: "Orang-orang Araab berkata: "Kami telah beriman.” Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, akan tetapi berkatalah, ‘kami telah Islam’ kerana iman masih belum memasuki hati kamu.” (Surah al-Hujrat, ayat 14) 

Ibnu Taymiyyah berkata: "Asal kesesatan Mutazilah, Khawarij dan selain mereka adalah kerana mereka menyelisihi dasar ini, mereka menjadikan iman sebagai sesuatu yang satu, bila hilang sebahagiannya maka musnahlah seluruhnya. Oleh kerana itu mereka menghukumi pelaku dosa besar sebagai tidak memiliki iman sama sekali. Mereka tidak mengatakan ada sebahagian yang hilang dan sebahagian lain yang masih tersisa, sebagaimana sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: “Akan keluar dari Neraka barangsiapa yang hatinya ada sedikit keimanan.” Dengan demikian maka iman tidak hilang dengan hilangnya sebahagian amal.

Kekafiran itu sendiri terbahagi kepada dua kategori dan sebelum seseorang itu boleh dijatuhkan hukum kafir, terdapat beberapa syarat yang perlu diperhatikan terlebih dahulu.

Hendaklah kita menyedari bahawa mengkafirkan muslim yang lain merupakan satu isu yang amat serius, sebagaimana jelas Imam Ibnu Abil Izzi Abdis Salam al-Hanafi dalam Syarhul Aqidah ath-Thahawiyah: 

"Ketahuilah. Semoga Allah merahmati kamu bahawa masalah pengkafiran merupakan masalah yang sangat besar fitnah dan musibahnya, banyak perpecahan yang terjadi di dalamnya, berselisihnya hawa nafsu dan pendapat tentangnya dan telah terjadi pertentangan antara alasan-alasan mereka. 

"Sesungguhnya sebesar-besar bentuk kejahatan adalah menuduh individu tertentu bahawa Allah tidak akan mengampuninya dan tidak akan merahmatinya, bahkan Allah akan mengekalkannya dalam neraka (kerana yang sedemikian adalah) hukum bagi orang kafir setelah mati." 

Kesimpulannya, sekiranya dalam diri seseorang itu terdapat beberapa ciri kekafiran, sikap kita bukanlah mengkafirkannya tetapi berusaha mencari jalan agar dia menghindari ciri-ciri kekafiran tersebut. Berilah nasihat, tegakkan hujah dan bukalah ruang untuk dia berfikir dan berusaha mengubah diri sekalipun hanya secara bertahap-tahap.

Firman Allah SWT: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah an-Nahl, ayat 125) 

No comments:

Post a Comment