Friday 6 July 2018

DITIMPA MUSIBAH, BAHARU HARGAI NIKMAT KEHIDUPAN

Ketika dalam keadaan senang, kita lupa nikmat dirasai selama ini. Apabila ditimpa musibah barulah tahu betapa bererti dan berharga apa dimiliki. Begitu juga, ada individu mula lupa mengenai nikmat apabila yang diperolehi melebihi keperluan dan kemewahan. 

Sesungguhnya, Allah memberikan kenikmatan hidup yang tidak terhingga kepada manusia dan seluruh makhluk di alam ini. Jika Allah menarik balik cuma sedetik, maka musnahlah seluruh alam ini. Justeru, nikmat yang Allah kurniakan tidak mampu hendak dihitung satu persatu biarpun manusia berusaha menghitungnya. 

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tidaklah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (Surah an-Nahl, ayat 18).

Insaflah bahawa semua yang dinikmati ini hanya satu pinjaman sementara yang boleh ditarik bila-bila masa sahaja. Kita perlu berpegang kepada hakikat yang segala kesihatan yang baik, kekayaan yang melimpah ruah, kekuatan, kepandaian dan sebarang kelebihan yang dimiliki hanya sebagai ujian daripada Allah.

Sebab itu, kita diperintah agar berpegang kepada konsep bersyukur. Perkataan syukur dan perkataan yang berasal dari kalimah itu disebut sebanyak 77 kali dalam al-Quran sebagai memberi peringatan agar manusia tidak lalai menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya.  

Bersyukur dapat menghindarkan sifat lupa diri, bongkak, ujud dan tamak yang mudah menguasai diri orang yang dilalaikan dengan kenikmatan dunia. Sifat itu membawa kehancuran kehidupan manusia yang merasakan apa yang dinikmati adalah hasil usahanya. 

Sebab itu, kalimah syukur kerap digandingkan dengan kalimah zikr (ingat) yang memberi peringatan agar manusia terus istiqamah tetap mengikuti jalan diredai dan tidak mudah lupa diri serta kufur dengan nikmat yang diperoleh.

Nabi Sulaiman, sentiasa mengingati dan mengucapkan rasa bersyukur dengan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Keupayaannya memerintah manusia dan seluruh makhluk lain adalah anugerah istimewa yang diberikan oleh Allah kepadanya. 

Firman Allah bermaksud: “Kata Sulaiman: “Ini adalah anugerah daripada Tuhanku untuk menguji diriku sama ada aku bersyukur kepada-Nya ataupun aku ingkar. Dan sesiapa yang kufur (ingkar), sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya Lagi Maha Pemurah.” (Surah an-Naml, ayat 40).

Amalan bersyukur pada hakikatnya adalah manifestasi untuk menyatakan terima kasih yang tidak terhingga kepada Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Tanpa izin Allah sudah pasti kita tidak akan dapat meneguk walau setitik air atau merasai nikmat biarpun sedetik. 

Sesiapa yang tiada dalam hatinya perasaan bersyukur, itulah tanda-tanda hatinya telah mati. Dia bakal menempuh kehidupan lebih sukar pada masa akan datang dan di akhirat nanti. Allah menarik balik nikmat kepada orang yang tidak bersyukur secara nyata maupun tidak nyata.

Banyak umat terdahulu yang menerima pembalasan dibinasakan hidup mereka di dunia disebabkan tidak bersyukur dan ingkar perintah Allah. Kita sepatutnya mengambil pengajaran kisah yang menimpa penduduk Saba yang ditimpa banjir besar dan sikap angkuh Qarun yang ditelan bumi bersama-sama harta kekayaan.

Saba adalah satu kabilah Arab yang tinggal di Yaman sekarang ini. Mereka mendirikan kerajaan yang terkenal dengan nama kerajaan Sabaiyyah dengan Marib sebagai kotanya. Kerajaan Sabaiyyah membangun dan rakyat dapat menikmati kehidupan aman, sejahtera dan mewah hasil pembinaan Ampangan Marib. 

Kemewahan dan kenikmatan yang dilimpahi Allah telah menyebabkan kaum Saba lupa diri dan ingkar seruan para rasul, lalu Allah timpakan azab banjir besar atau ‘sailul arim’ akibat pecahnya Ampangan Marib sepertimana dijelaskan Allah dalam surah Saba, ayat 16.    

Qarun pula menerima pembalasan disebabkan perasaan angkuh memiliki kemewahan dan kekayaan di dunia. Qarun asalnya dari kalangan orang beriman kepada Allah dan menjadi pengikut setia Nabi Musa. 

Namun setelah dia memperoleh kekayaan, dia tidak bersyukur. Dia menolak permintaan Musa agar mengeluarkan zakat dan bersedekah kepada kaumnya daripada hasil kekayaan itu. Qarun menjadi durhaka kepada Allah kerana mengaku kekayaan yang dimiliki itu adalah hasil usahanya sendiri. 
     
Cerita keangkuhan Qarun dan nasib yang menimpanya disebabkan tidak bersyukur disebut dalam beberapa ayat surah al-Qashash. 

Sebahagian daripada ayat 76 surah itu bermaksud: “Sesungguhnya Qarun itu termasuk kaum Musa, tetapi dia melakukan aniaya kepada mereka, dan Kami berikan kepadanya kekayaan, yang kuncinya berat dipikul oleh sekumpulan orang yang kuat.”

Manakala sebahagian maksud ayat 78 pula: “Qarun menjawab: Kekayaan yang diberikan kepadaku hanyalah kerana pengetahuanku.”  

Keangkuhan Qarun itu Allah balas dengan membenamkan Qarun dan seluruh harta kekayaannya ke dalam bumi. Firman Allah bermaksud: “Lalu Qarun dan istananya Kami benamkan ke dalam bumi.” (Surah al-Qashash, ayat 81).

Jelas sekali betapa pentingnya amalan bersyukur dan sentiasa istiqamah dalam mengabdikan diri dan beribadat kepada Allah. Keimanan perlu sentiasa utuh tidak kira ketika menikmati kesenangan maupun berdepan dengan cubaan berat.

No comments:

Post a Comment