Minda yang tertutup dan
terhalang mengurangkan fungsi minda. Hal itu samalah seperti kita menentukan
had sempadan penggunaan minda. Sedangkan minda sebenarnya mampu berfikir tanpa
had sempadan. Pergerakan berfikir berbentuk rawak yang tidak ada satu garisan
khusus.
Allah menjelaskan perbezaan orang yang
menggunakan akal fikirannya. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah, apakah sama
orang-orang yang mengerti dengan orang-orang yang tidak mengerti.” (Surah
az-Zumar, ayat 9).
Kemampuan minda seseorang berbeza
antara satu sama lain. Inilah memberi kelebihan apabila dilakukan percambahan
minda melibatkan banyak individu. Gagasan minda yang digabungkan membawa kepada
satu kekuatan minda yang terbaik.
Krisis akal telah menjadi darah daging
di kalangan masyarakat kita. Kita dikatakan Mat Jenin jika banyak berfikir dan
merancang sesuatu yang memberi kesan kebaikan luar biasa.
Malah, kita telah diingatkan agar
tidak menduga lautan dalam jika kain hanya sejengkal. Begitu juga kita sentiasa
disindir jika berusaha lebih dengan kata-kata, rezeki secupak tidak akan jadi
segantang.
Belajarlah berfikir secara minda
terbuka. Minda yang terbuka dapat membezakan antara betul dan salah,
mencipta kemajuan dan bergerak ke arah lebih baik. Dengan cara itu juga mampu
membudayakan pemikiran yang kritis.
Hidup masyarakat hari ini mesti lebih
baik berbanding generasi sebelum ini. Justeru, kita perlu lebih bijak mencipta
sesuatu yang lebih memberi kebaikan.
Firman Allah dalam surah al-Anam ayat
50 bermaksud: “Katakanlah, apakah sama si buta dengan si celik, tidakkah kamu
memikirkannya.”
Umumnya semua orang mahu menikmati
kehidupan lebih baik, meneroka bakat dan potensi diri. Tetapi, disebabkan
mengamalkan cara berfikir yang negatif, menyebabkan banyak sempadan diri
wujud.
Kita sendiri mengatakan ini tidak
boleh dan itu tidak mungkin sedangkan belum mencubanya lagi. Sikap itu umpama
kita takutkan hantu sedangkan sebenarnya hantu yang dimaksudkan tidak
wujud.
Banyak orang yang gagal kerana berada
dalam zon selesa, tidak mahu merasai susah dan sakit untuk menebus kejayaan.
Mereka berserah kepada takdir sebelum berusaha.
Maka, kegagalan itulah sebenarnya takdir yang mereka tentukan sendiri. Kelompok manusia seperti ini sebenar tidak menyedari bahawa diri mereka sudah gagal sebelum kegaglan sebenar berlaku.
Setiap kegagalan yang diderita perlu difikirkan punca dan sebabnya, apakah kesilapan dilakukan sehingga kita terlepas daripada mendapat apa yang menjadi cita-cita dan impian kita. Sesungguhnya kesilapan masa lalu adalah pengalaman berharga untuk masa depan.
No comments:
Post a Comment