Monday, 16 July 2018

CENDAWAN JERAMI VOLVARIELLA MUDAH DITANAM

Cendawan atau kulat memerlukan medium sesuai untuk tumbuh mengikut jenis masing-masing. Ada kulut tubuh di batang pokok mati yang sedang mereput. Ada juga kulat tubuh di atas tanah busut dan sebagainya. Cendawan volvariella atau juga dikenali cendawan jerami dan cendawan kelapa sawit.

Cendawan volvariella dipanggil cendawan jerami kerana banyak tubuh di celah-celah jerami padi yang sedang mereput. Kemudian, cendawan volvariella dikenali cendawan kelapa sawit disebabkan kulat ini juga banyak tumbuh di celah atau di atas tandan dan pelepah kelapa sawit.

Penanaman cendawan volvariell di atas medium tandan kelapa sawit menjadi pilihan kerana tanda kelapa sawit boleh diperoleh sepanjang tahun bagi mereka yang tinggal berhampiran kawasan ladang sawit. Penggunaan tandan kelapa sawit juga dapat membantu memaksimakan penggunaan buangan industri kelapa sawit yang sekaligus melestarikan alam sekitar.

Jika dalam keadaan semulajadi, kulat jerami atau kulat kelapa sawit akan tubuh jika ada benih jatuh di situ dan kebetulan keadaan jerami dalam keadaan mereput dan lembab. Maka, tidak semua di timbunan jerami dan tandan kepada sawit ada tumbuh cendawan volvariell.

Proses menanam cendawan kelapa sawit bermula dengan mengumpul tandan-tandan kelapa sawit untuk diperam selama kira-kira 10 hari. Tandan-tanda disiram dengan air dan akan ditutup dengan kanvas plastik. Siraman air juga perlu dilakukan dengan kerap bagi memastikan ia sentiasa lembap.

Setelah proses ini selesai, tandan sawit tersebut akan disusun menjadi batas sebagai medium utama untuk penanaman cendawan. Tempat untuk membuat batas itu boleh dibuat di mana-mana asalkan kawasan redup atau tidak terkena sinaran matahari secara terus. Jadi, ia sesuai untuk dibuat di ladang kelapa sawit, ladang getah dan kebun buah-buahan. Untuk menanam cendawan jerami tidak memerlukan rumah atau teduhan khusus seperti menanam cendawan jenis lain.

Penanaman cendawan kelapa sawit secara khusus tidak mengharapkan kehadiran benih secara semulajadi. Benih cendawan kelapa sawit akan ditabur atau disemai khusus. Cendawan mula membesar dan ia berbentuk bulat serta bujur ke atas. Pada ketika ini, cendawan boleh dipetik dan ia perlu dipasarkan dengan segera. Cendawan volvariella tidak boleh disimpan melebihi dua hari dalam keadan suhu biasa.

Tanaman cendawan jerami sangat senang untuk dijaga dan diuruskan selain tidak memerlukan modal yang besar. Untuk menanam cendawan ini, kami hanya menggunakan konsep tanam, tunggu dan tuai.

Cabaran utama yang dihadapi untuk menanam cendawan jerami ialah keadaan cuaca dan suhu yang perlu sentiasa lembap bagi membolehkan ia tumbuh dengan sempurna. Jadi siraman perlu dilakukan setiap hari agar medium sentiasa lembab.

Penanaman cendawan itu dijalankan secara berperingkat-peringkat untuk memudahkannya mengutip hasil tanaman pada setiap hari. Apa yang lebih istimewa, cendawan volvariella itu 100 peratus organik kerana tidak menggunakan sebarang baja mahupun racun serangga.

Cendawan volvariella mengandungi banyak khasiat berbanding cendawan jenis lain. Cendawan istimewa ini kaya dengan protein dan merupakan sejenis cendawan yang paling tinggi kandungan vitamin serta mineral. Ia juga bebas karbohidrat dan sangat sesuai bagi mereka yang sedang mengamalkan diet atau ingin menjaga bentuk badan.

No comments:

Post a Comment