Tuesday 10 July 2018

TANGGUNGJAWAB PENULIS BLOG ELAK FITNAH


Medium untuk menulis tidak terhad
  kepada akhbar, majalah dan buku saja. Kini terdapat banyak kaedah membolehkan berita disebarkan, terutama di ruang maya seperti blog dan laman sosial.   

Penulis blog asalnya mencatatkan sesuatu untuk dikongsikan bersama pelawat laman itu. Sesetengah mereka menulis berita dan rencana untuk disebarkan kepada orang ramai. Jadi, mereka turut dipangil wartawan blog. 

Mereka sememangnya lebih bebas dan tidak memerlukan kawalan mana-mana pihak untuk melakukan posting apa yang ditulis. Berbeza jika menulis di laman web tertentu yang ada pengurus web untuk mengawal kandungan dikirimkan. 

Di mana sekalipun berita ditulis sama ada di akhbar, majalah, laman web, laman blog mahupun buku, kandungan berita mesti tepat dan bebas daripada fitnah. Tanggungjawab sebagai penulis tetap sama, berita mesti benar, bukan agak-agak, dengar khabar atau jauh sama sekali sekadar mereka-reka cerita itu untuk tujuan fitnah.  

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya) akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat.” - (Hadis riwayat Muslim).

Fitnah ialah tuduhan melalui cerita, khabar atau kisah yang diada-adakan atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan terhadap seseorang, keluarga atau kumpulan. Perkataan fitnah berasal perkataan Arab bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan.  

Pun begitu, penulis blog tidak terlepas daripada undang-undang berkaitan fitnah. Walaupun mereka menggunakan nama samaran, penulis blog boleh dikesan melalui unit siber forensik dan dihadapkan ke muka pengadilan. 

Jadi tidak semestinya menggunakan laman blog, penulisnya boleh menulis apa saja. Itu hanya satu pandangan. Akhir-akhir ini, sudah banyak kes tindakan undang-undang dikenakan terhadap penulis dalam media alternatif.

Masyarakat berpindah ke media alternatif bukan kerana hilang kepercayaan kepada media cetak seperti akhbar arus perdana dan akhbar tabloid. Sebaliknya, lencongan mendapat maklumat kepada media alternatif kerana ingin mengetahui banyak berita atau fakta mengenai sesuatu perkara yang tidak didedahkan dalam akhbar. 

Akhbar perdana tidak mendedahkan sesuatu berita yang tidak pasti atau yang difikirkan memberi kesan tidak baik kepad masyarakat. Tidak semestinya yang benar itu mesti didedahkan. Dalam ajaran Islam menegah sesuatu berita tidak baik didedahkan kepada umum jika difikirkan adakan kesan buruk akibatnya, terutama terhadap individu yang dikaitkan dengan berita itu.

Sebaliknya, penulis laman blog seakan-akan seperti sudah menjadi niatnya hendak mendedahkan sesuatu mengenai individu di laman blognya. Tidak kurang juga menanggap cara itu bertujuan mencari kebenaran yang difikirkan tidak mungkin diperoleh melalui akhbar perdana.

Penulis blog kini semakin ramai dan meluas. Pada satu peringkat, pelawat laman blog kini sudah boleh memilih laman mana yang boleh dipercayai kredibiliti atau kebenaran berita yang ditulis. Jika sesuatu laman blog banyak menyiarkan kenyataan tak benar, lama-kelamaan ia akan hilang reputasi, kredibiliti dan orang akan menilai kewibawaan penulis laman blog itu.  

Sama juga dengan akhbar, apa saja ditulis dalam akhbar orang percaya kerana kalau tak betul, tak akan keluar. Itu zaman dulu. Sekarang ramai melihat secara sinikal kepada akhbar, siapa yang tulis, siapa milik akhbar itu, siapa pengarangnya. Pembaca sudah mula menilai. 

Apapun, teknologi maklumat sepatutnya dimanfaatkan untuk kebaikan. Tidak patut ia disalahgunakan untuk menyebar berita berbentuk fitnah. Jangan jadikan kecanggihan teknologi sekarang untuk melepas geram dan menyebarkan fitnah.    

Banyak berita fitnah tersebar tanpa pengirim dan penerimanya mengenali antara satu sama lain. Namun, penerima berita itu boleh pula mempercayainya, dan kemudian menyebarkan pula kepada orang lain.

Banyak berita yang disebarkan sebenarnya tidak kena mengena dengan diri kita dan tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada perbuatan itu.  Jadi, tidak sepatutnya kita terlibat sama menyebarkan berita fitnah itu. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”

Banyak individu menyebar berita yang difikirkan benar beranggapan dia telah melakukan kebaikan. Asas itu tidak boleh digunakan kerana kita tidak pasti perkara yang sebenarnya. Kita hanya boleh menyebarkan sesuatu berita mengenai perkara yang pasti dengan jelas.   

Tindakan menyebarkan berita yang tidak pasti akan membawa diri ke dalam kancah fitnah. Pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa mencari peluang untuk mencetuskan fenomena berita fitnah dianggap sebagai satu yang benar. Mereka merasa puas dan mendapat kejayaan apabila berita fitnah dipercayai oleh orang lain sebagai sesuatu yang benar. 

Apabila penyebaran fitnah berlaku secara berleluasa bermakna kehidupan masyarakat berada di ambang kemusnahan. Masing-masing keliru dan sukar untuk membuat pilihan yang mana berada di pihak benar. Dalam keadaan keliru itu, pihak yang benar dikatakan bersalah dan begitulah sebaliknya. 

Perbuatan menyebarkan fitnah melambangkan peribadi yang keji dan jahat. Jika perbuatan itu telah sebati dalam diri, hati tidak akan merasakan kemanisan iman ketika melakukan kebaikan. Maka, hati menjadi lebih cenderung untuk melakukan perbuatan dosa.

Perbuatan fitnah juga adalah sebahagian perbuatan mengadu-domba. Apabila fitnah disebarkan, ia mudah menyebabkan permusuhan dua pihak. Permusuhan menjadi semakin tegang apabila lebih banyak fitnah ditabur. Manusia sanggup berbunuh akibat terpengaruh dengan fitnah.

Justeru, amat perlu setiap berita yang diterima dihalusi supaya tidak terlibat dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebelum mempercayai sebarang berita, perlu dipastikan kesahihannya berdasarkan sumber dan faktanya.     

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Beruntunglah orang yang sentiasa menyelidiki dan melihat keaiban diri sendiri.” - (Hadis riwayat Muslim).

Individu yang difitnah sudah pasti marahkan kepada orang yang menfitnahnya. Sekilas difikirkan sudah tentu terdetik di dalam hati untuk membalas balik perbuatan itu. Namun, sebaik-baik manusia ialah tidak bertindak balas terhadap kejahatan yang dilakukan terhadapnya. 

Betapa mulia hati sesiapa yang dapat memaafkan orang yang telah memfitnahnya. Sifat itu antara intipati kata-kata Hasan al-Bana. Katanya: “Jadilah seperti pohon yang dibaling orang dengan batu tetapi menggugurkan buah buat mereka.”

No comments:

Post a Comment