Monday 18 November 2019

MASJID AL SULTAN ISMAIL PETRA, KUBANG KERIAN

Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian antara masjid terkenal di Kelantan dengan kecantikan dan aktiviti keagamaan yang diadakan di masjid berkenaan.

Kedudukannya di Kubang Kerian yang pesat membangun menjadikan ia lokasi utama orang ramai berkunjung untuk menunaikan solat dan aktiviti keagamaan.

Lokasinya terletak 5 km dari pusat bandar Kota Bharu, berhampiran dengan Istana Negeri, Istana Mahkota dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan kawasan petempatan Bandar Baru Kubang Kerian.

Masjid ini dapat menampung seramai 3000 jemaah untuk ruang solat utama, manakala serambi kanan, kiri dan belakang serta tingkat atas pula dapat menampung seramai 2000 orang jemaah.

Pembinaan masjid ini bermula pada tahun 1986 apabila seorang individu telah bermurah hati untuk membiayai pembinaan masjid ini. Setelah menyiapkan tapak untuk bangunan ini, proses pembinaannya telah tergendala atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pada tahun 1988, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menyambung pembiayaan kerja-kerja pembinaannya dengan tanggungan biaya daripada MAIK serta sumbangan wang daripada orang ramai berjumlah mencecah RM15 juta.

Masjid Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian telah disempurnakan perasmiannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra, pada 8 Safar 1413 Hijrah bersamaan 7 Ogos 1992 Masihi. 

No comments:

Post a Comment