Monday 17 February 2020

Ibu dan anak ditahan menagih dadah


Wanita dan anak lelaki sulungnya ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas mereka didapati positif dadah. Dua beranak itu ditahan anggota AADK dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pegawai perubatan.

Pihak berkuasa turut menyelamatkan tiga lagi anak wanita terbabit termasuk bayi berusia empat bulan susulan penahanan itu.

Dua beranak itu didapati positif dadah iaitu wanita berusia 35 tahun positif opiat manakala anak lelakinya berusia 19 tahun pula positif methamphetamine.

Mereka dipercayai sudah terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak beberapa tahun lalu.

Dalam serbuan itu, mereka turut menemui tiga lagi anak wanita terbabit termasuk bayi berusia empat bulan di rumah yang dalam keadaan daif dan tidak terurus.

Keadaan bayi itu tidak terurus dan ibunya hanya memberi air masak kepadanya kerana wanita itu tidak berkerja dan tidak mempunyai sumber pendapatan.

Seorang anak wanita itu yang berusia lapan tahun tidak bersekolah manakala dua lagi yang berusia empat tahun dan bayi terbabit tidak mempunyai sijil lahir.

Operasi itu dijalankan secara bersama dengan agensi lain untuk membantu dua beranak terbabit mendapatkan rawatan dan keluar daripada belenggu penagihan dadah.

Dua beranak itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan anak yang ditinggalkan akan mendapat perlindungan sewajarnya.

Pihak JKM membawa tiga anak suspek ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan dirujuk hospital untuk tindakan selanjutnya.


Semoga usaha sebegini dipergiatkan. Kalau dibiarkan, anak-anak lain akan terabai dan kemungkinan akan turut terjebak dengan masalah dadah.

Banyak kes dadah melibatkan ahli keluarga kerana saling terpengaruh antara satu sama lain.

Kemiskinan dan keluarga tidak terurus antara punca berlaku kes penagihan dadah. Jaga dan urus keluarga dengan sebaiknya.

No comments:

Post a Comment