Tuesday 11 August 2020

MENU CELUP TEPUNG PANTAI PENARIK

 

Pantai Penarik, Setiu, Terengganu antara lokasi menarik di negeri yang pada ketika dahulu terkenal dengan jolokan Kuwait Malaysia kerana menjadi negeri pengeluar minyak.

Pantai Penarik yang dahulunya sekadar perkampungan nelayan, kini telah bertukar wajah menjadi destinasi pelancongan terkenal dengan keindahan pantai dan tarikan pelbagai jenis makanan laut celup tepung.

Terdapat berpuluh restoran atau kedai makan yang menawar hidangan makanan laut celup tepung, terutama udang, ikan dan sotong yang menggamit kedatangan peminatnya.

Ada pelanggan datang dari jauh semata-mata ingin menikmati hidangan celup tepung di Penarik.

Keistimewaan hidangan celup tepung di Penarik ialah menggunakan hasil laut yang segar kerana kedudukan berhampiran dengan tempat pendaratan hasil laut dan penternakan udang.

Selain menikmati hidangan, pengunjung juga berpeluang merasai suasana angin pantai yang bertiup sepoi-sepoi memberi ketenangan yang mendamaikan.

Keadaan persekitaran yang bersih serta terdapat tempat letak kenderaan yang luas memberi keselesaan kepada pengunjung. Semoga lebih ramai berkunjung ke Pantai Penarik dan merancakkan sektor pelancongan tempatan.

No comments:

Post a Comment