Thursday 27 August 2020

KEMERDEKAAN MENGIKUT ACUAN ISLAM


Kita perlu memahami erti kemerdekaan yang sebenar agar tidak dicemari ideologi ekstrim hingga ada terpesong daripada penghayatan kemerdekaan sebenar.

Dalam konteks agama, kemerdekaan dalam Islam ditakrif sebagai kebebasan menjalankan tanggungjawab agama tanpa halangan sama ada melakukan perkara wajib atau sunat.

Kemerdekaan itu sendiri mempunyai makna suci dalam Islam, iaitu kesejahteraan, kedamaian dan keamanan.

Hakikatnya, semua makna itu menjurus kepada maksud kemerdekaan yang kita fahami kini. Bagi Muslim, nikmat kebebasan dalam kemerdekaan seharusnya disyukuri dan dihayati maknanya.

Bagaimanapun, terdapat sesetengah masyarakat tersalah tafsir dalam memahami hak asasi manusia hingga memahami merdeka sebagai kebebasan berfikir secara mutlak dan melakukan apa sahaja tanpa mengikut tuntutan agama.

Memang kita merdeka dari segi bernegara, tetapi masih menjadi hamba kepada Maha Pencipta. Justeru, perlu ada sempadan tertentu dalam mengatur hak asasi ini.

Sempadan itu adalah melalui ajaran agama dan perundangan serta mesti ada undang-undang mengawal kehendak masyarakat supaya ia tidak berada di luar norma kemanusiaan dan hamba kepadaNya.

Kemerdekaan dalam erti kenegaraan atau kuasa memerintah sendiri sendiri seperti dinikmati negara kita membolehkan rakyat mewujudkan negara yang mempunyai undang-undang sendiri seterusnya memberi kuasa kepada orang Islam membentuk negara berdaulat mengikut acuan agama.

Pada zaman penjajahan British, banyak kekangan dalam pelaksanaan tanggungjawab sebagai Muslim tetapi selepas merdeka, negara sudah tidak lagi ditekan hingga masyarakat dapat melaksanakan tuntutan agama dengan bebas.

Agenda kemerdekaan sebenar juga adalah untuk membela golongan tidak berkemampuan dan tertindas supaya mereka turut sama mengecapi kemerdekaan serta kemewahan hasil daripada kemerdekaan.

Tanpa keadilan dan pembelaan kepada golongan itu, kemerdekaan hanyalah sekadar 'cakap-cakap sahaja' yang tidak mempunyai sebarang pengertian di sisi agama.

Perbezaan antara orang Islam dengan bukan Islam pada zaman dahulu ialah kedatangan Islam membawa keadilan, tamadun dan perkembangan ilmu berbeza dengan penjajah menawan serta membunuh penduduk asal sesuatu tempat lalu merampas hasil bumi yang ada di situ.

 

No comments:

Post a Comment