Saturday 5 December 2020

ISI BUAH NIPAH ENAK DIMAKAN

Pokok nipah dianggap pokok serba guna seperti pokok kelapa. Boleh dikatakan semua bahagian pokok nipah boleh dimanfaatkan. Tentu sekali antara yang paling diminati ialah buah nipah.

Pokok nipah banyak tumbuh di tebing sungai atau kawasan paya. Pokok nipah boleh tumbuh subur termasuk di kawasan muka kuala yang berair masin.

Pokok nipah merupakan satu-satunya pokok palma dari keluarga Arecaceae yang juga disifatkan sebagai pokok bakau dan satu-satunya spesies dalam genus Nypa tumbuh di kawasan berair.

Buah nipah keluar di hujung tandan dalam kedudukan rapat-rapat. Setandan buah nipah ada 60 biji hingga 70 biji.

Kulit luar berbentuk seperti sabut kelapa dan ada tempurung selepas itu yang tidak keras sangat. Di bahagian tengah-tengah terdapat isi nipah.

Tekstur isi nipah seakan buah kabung dan buah kelapa laut atau buah tal. Untuk mendapatkan isi buah nipah yang berkualiti perlu dipilih dengan teliti. Kalau buah tua isinya keras dan kalau muda sangat tiada isi pula.

Hendak kopek isi buah nipah agak cerewet sikit, kena belah buah satu-satu. Namun, disebabkan rasanya yang enak, banyak orang sanggup bersusah sedikit untuk mendapatkannya.

Ada peniaga yang menjadikan isi nipah sebagai bahan jualan mereka. Jadi, bagi pengemar buah nipah atau ingin mencuba merasai kenikmatan rasa isi buah nipah boleh mencarinya di pasar tani, pasar pagi atau pasar yang bersifat menjual perlbagai jenis sumber makanan, sayur, ikan dan keperluan harian.


No comments:

Post a Comment