Wednesday 20 January 2021

KENAPA DINAMAKAN KUIH TONYOH

Di Kelantan banyak nama kuih. Macam-macam nama, bentuk, jenis, cara pembuatan dan sebagainya. Jadi, jangan pelik jika orang Kelantan sendiri tidak kenal dan tidak pernah makan kuih yang ada di Kelantan.

Dahulu kita tular dengan nama kuih kerbau guling yang dijenamakan semula dari nama asal kuih kasui atau kesoi. Ada nama kuih dalam kain yang ditukar nama dari kuih putu halba dan sebagainya.

Sekarang timbul pula kuih tonyoh. Banyak yang tertanya-tanya jenis kuih apa pula tu.

Kuih tonyoh ni sebenarnya kuih ubi kayu parut. Bukan perkara baharu pun. Kuih ubi kayu parut ni sudah lama orang buat.

Tetapi apabila dijenamakan semula sebagai kuih tonyoh, maka banyak orang tertanya-tanya, terutama apabila ia tular di media sosial.

Kuih tonyoh biasanya banyak semasa musim tengkujuh. Kuih tonyoh ni kira macam kuih putu halba yang banyak didapati pada musim tengkujuh di Kelantan. Kiranya kedua-dua jenis kuih ini adalah kuih bermusim.

Adakah kuih tonyoh tidak boleh dibuat pada musim panas? Apa pula tidak boleh. Sebenarnya kuih tonyoh boleh dibuat bila-bila masa asalkan ada ubi kayu dan alat parut.

Ubi kayu adalah bahan asas untuk membuat kuih tonyoh. Memandangkan ubi kayu mudah diperoleh pada musim tengkujuh, maka banyaklah orang buat kuih tonyoh pada musim tengkujuh.

Penyediaan kuih tonyoh dianggap mudah dan peralatan untuk memasak kebanyakannya ada di kebanyakan rumah. Peralatan yang diperlukan ialah pemarut dan kukusan.

Ubi kayu yang telah diparut akan digaulkan dengan sedikit garam. Untuk kelihatan warna warni, boleh dimasukan juga pewarna.

Bahan yang telah digaul rata akan dibuat tompokan atau diasingkan mengikut ukuran dikehendaki. Kemudian dikukus selama kira-kira 20 hingga 30 minit.

Untuk memakannya, ikut cara masing-masing. Ada yang memakannya bersama kelapa parut dicampur dengan gula atau manisan.

Untuk lebih sedap, sediakan kuah berbentuk manisan yang biasa dimakan dengan putu atau serabai.

Kalau hendak makan kosong pun ok. Rasanya macam ubi kayu rebus biasalah.

Oi... mengapa dinamakan kuih tonyoh? Sebabnya, perbuatan memarut ubi kayu dilanggil ‘tonyoh’ iaitu menekan dengan kuat ubi kayu ke atas mata pemarut agar terhasil ubi kayu parut.

Perkataan tonyoh adalah dalam dialek Kelantan. Sebab itu nama kuih tonyoh banyak terdapat di Kelantan. Hakikatnya kuih tonyoh juga ada di tempat lain, tetapi dinamakan kuih ubi kayu parut atau nama-nama lain mengikut tempat masing-masing.

No comments:

Post a Comment