Thursday 29 April 2021

PENYAKIT BUAH PINGGANG SUKAR DIFAHAMI

Penyakit buah pinggang sukar difahami. Ia menyerang orang dewasa dan kanak-kanak sama ada orang itu sihat atau tidak atau bagaimana corak hidup seseorang.

Apabila seseorang menghidap penyakit buah pinggang yang kronik, ia akan sakit teruk selama beberapa bulan dan mengalami anaemia. Buah pinggang terus mengeluarkan air kencing namun gagal mengeluarkan bahan kotoran atau menyerap bahan yang berguna.

Kegagalan buah pinggang kronik disebabkan beberapa penyakit seperti jangkitan kronik, diabetes atau pengambilan dadah berlebihan.

Pesakit biasanya lemah, sering demam, sering kencing lebih-lebih lagi waktu malam. Jika dibiarkan tanpa rawatan, pesakit akan kehilangan berat badan, luka, gatal-gatal dan sedu. Kulit nampak kekuningan dan garisgaris warna coklat dilihat di kuku tangan.

Puncanya mesti dikenal pasti dan dirawat. Batu karang boleh dikeluarkan melalui pembedahan dan jangkitan kuman dirawat dengan ubat-ubatan. Jika kedua-duanya gagal, pesakit diberikan pemakanan tinggi karbohidrat dan rendah protein. Dialisis atau pemindahan buah pinggang diperlukan jika pesakti bertambah teruk.

Rawatan dialisis diberikan selama tiga hingga empat jam tiga kali seminggu. Selain waktu tersebut, pesakit bebas aktif seperti orang lain.

Dengan rawatan dialisis, pesakit buah pinggang dapat hidup secara normal. Mereka boleh bekerja asalkan tidak melakukan kerja-kerja berat seperti kerja buruh.

Jika usia muda, pesakit ini juga patut meneruskan persekolahan dan boleh mengambil bahagian dalam sukan atau aktiviti rekreasi.

Kegagalan fungsi buah pinggang tidak bermakna berakhirnya kehidupan. Pesakit perlu mengikuti pemakanan khusus dan mengambil ubat-ubatan yang membantu dalam rawatan.

Setiap tahun jumlah pesakit yang menerima rawatan penyakit buah pinggang semakin bertambah.

Bagi sesetengah penyakit buah pinggang, terdapat tanda-tanda yang boleh dikenali. Umpamanya, terdapat darah dalam air kencing, bengkak sekeliling mata serta buku lali dan sering bangun kencing waktu malam. Tanda-tanda seperti ini memerlukan rawatan.

Bagaimanapun banyak kes penyakit buah pinggang berlaku dalam diam dan tidak menampakkan sebarang tanda. Ia dikesan melalui pemeriksaan air kencing yang nampak tidak normal atau tekanan darah tinggi.

Mencegah lebih baik dari berubat. Jauhi makanan manis-manis. Jaga kesihatan.

 

No comments:

Post a Comment