Saturday 11 September 2021

KAMPUNG BUDU, LOKASI PEPERANGAN TOK GAJAH MELAWAN INGGERIS

Kampung Budu merupakan sebuah kampung yang terletak di Benta, Pahang. Kampung Budu tiada kaitan dengan budu yang menjadi kegemaran penduduk di Kelantan.

Kampung Budu diketahui sebagai tempat lahirnya Tok Gajah. Lokasi kampung tersebut strategik untuk menjadi tempat pertahanan dari ancaman musuh kerana kedudukannya yang dikelilingi tiga bukit.

Kampung Budu dianugerahkan oleh Sultan Pahang kepada Tok Gajah berikutan bantuan beliau dalam Perang Klang yang menyaksikan ketika itu Pahang menyebelahi Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad, sekali gus menerima gelaran kebesaran Pahang, iaitu Orang Kaya Indera Gajah.

Tiada siapa pernah menyangka bahawa di sebalik sebuah kampung yang memiliki khazanah alam tidak ternilai harganya, ia sebenarnya menyimpan seribu satu kisah duka yang tidak banyak dicatatkan di dalam lipatan sejarah.

Ada satu peristiwa telah berlaku ketika bulan Ramadan pada Mei 1892. Peristiwa tersebut di mana menyaksikan kira-kira 300 penduduk Kampung Budu terkorban setelah kampung mereka dibakar oleh tentera British yang ketika itu ditentang oleh pejuang-pejuang Melayu seperti Tok Gajah, Mat Kilau, Datuk Bahaman dan pengikut mereka.

Pasukan Tok Gajah pada waktu itu bersiap-siaga membina kubu pertahanan di sekeliling kampung bagi menyekat kemaraan tentera upahan British.

Tok Gajah dan Mat Kilau sememangnya telah menjangkakan British akan menyerang Kampung Budu. Ini kerana Residen Inggeris ketika itu telah menggerakkan kira-kira 400 polis tambahan dari Raub yang telah meningkatkan ketumbukan pasukan tentera British di Kuala Lipis menjadi hampir 2,000 orang yang terdiri daripada tentera upahan berketurunan Sikh dan Gurka.

Pembinaan lapisan kubu dan parit dikaji dengan begitu teliti oleh pasukan Tok Gajah dengan mengambil kira kedudukan topografi seperti bukit dan paya sebagai elemen untuk pembinaan kawasan pertahanan tersebut sementara sumber air dari sungai-sungai berdekatan juga turut dipastikan berada di dalam kawasan selamat.

Tambahan pula kekuatan di pihak British telah berada di Kuala Lipis dan Raub ketika itu sebagai persediaan untuk menyerang sambil satu pasukan tentera diketuai oleh Residen British, Sir Hugh Clifford sendiri.

British juga ketika itu telah menyediakan satu pasukan sokongan berserta tali barut di pihak orang Melayu yang akan menyerang Kampung Budu dari arah utara iaitu dari Kampung Temau sementara dua pasukan lain akan menyerang dari laluan darat melalui muara Sungai Teka dan satu pihak akan menyerang dari sebelan timur menerusi Penjom/Tanjung Besar.

Waktu itu tentera upahan British mula mendarat di kawasan paya kering di sebuah tanah lapang berhampiran Lubuk Besar pada awal bulan Ramadan dan masa itu sememangnya dirancang kerana mempercayai pahlawan Melayu yang menentang mereka akan lemah.

Walaubagaimanapun percubaan tentera upahan British selama dua minggu untuk melemahkan dan menawan pasukan penentang Tok Gajah gagal. Ini berikutan perlbagai jerangkap samar yang digunakan untuk menyerang hendap telah dipasang oleh pahlawan Melayu ketika itu.

Antara jerangkap sama yang digunakan ialah jerangkap samar yang menggunakan katak puru dilumur dengan cili burung serta dibaling ke arah khemah-khemah askar-askar itu. Ini membuatkan tentera upahan British menerima pelbagai tekanan dalam usaha mereka menewaskan pasukan Tok Gajah.

Sementara laluan perahu di sungai juga seringkali diterbalikkan oleh rintangan rotan manau yang dijadikan jerangkap sehingga menyeksa tentera-tentera tersebut.

Kerana keadaan itu, maka tentera-tentera upahan British ini menjadi tertekan kerana bukan sahaja mereka gagal menangkap Tok Gajah tetapi tidak dapat berehat secukupnya kerana serang hendap yang dilakukan pengikut Tok Gajah.

Akibat dari peristiwa tersebut, tentera upahan British bertindak membakar seluruh Kampung Budu. Peristiwa ini sesuatu yang diluar jangkaan dan amat menyedihkan Tok Gajah serta pengikutnya.

Disebabkan tentera British yang ramai, akhirnya pasukan Tok Gajah membuat keputusan berundur dan melarikan diri ke Kampung Ulu Cheka setelah sebahagian mayat penduduk kampung selesai dikebumikan.

Daripada peristiwa berdarah di Kampung Budu itu, telah berlaku pula pertempuran demi pertempuran yang membawa kepada penguasaan Inggeris di Hulu Pahang sehingga akhirnya Pahang jatuh ke tangan penjajah.

Akibat diburu oleh Pihak British, Tok Gajah, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan sebahagian besar pengikutnya terpaksa berpindah-randah. Walaupun ada kalanya mereka mendapat sokongan dari pihak tertentu umpamanya di Kelantan dan Terengganu namun ia tidak mampu menghalang kehendak British untuk menjajah Pahang.

No comments:

Post a Comment