Wednesday 7 December 2022

SEJARAH DAN FAKTA TENTANG JAJAHAN JELI

 
Jeli merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan yang terdiri daripada Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang.

Pentadbiran Jajahan Jeli telah bermula pada 1hb Julai 1982 sebagai sebuah jajahan kecil iaitu hasil daripada pecahan Jajahan Tanah Merah dan Kuala Krai. Pada 1 Januari 1986, Jajahan Kecil Jeli telah dinaiktarafkan sebagai sebuah Jajahan Penuh. Sehingga hari ini, Jajahan Jeli adalah sebuah jajahan yang terbaharu di Negeri Kelantan.

Jeli yang terletak di laluan Jalan raya Timur Barat, mempunyai keluasan 1,636.21 km persegi dan merupakan kawasan yang ke-3 paling luas di Kelantan. Bandar yang terdekat ialah Tanah Merah. 

Kira-kira 80% daripada kawasan Jeli adalah hutan rimba dan berbukit-bukau. Ianya terletak di kawasan yang tinggi, antara 92 meter hingga 500 meter dari aras laut. Sungai-sungai utama yang terdapat di Jeli ialah Sungai Pergau dan Sungai Golok.

Daerah Jeli meliputi beberapa mukim dan kampung seperti Mukim Jeli, Kampung Berdang, Kampung Teluk Bayu, Kampung Gemang, Kampung Lakota, Kampung Sungai Satan, Kampung Legeh, Kampung Seberang Jeli dan Kampung Pasir Dusun.

Biarpun jajahan baharu, Jeli pesat membangun. Antara kemegahan warga Jeli ialah Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli yang terletak di Kampung Gemang, kira-kira 6km dari pekan Jeli.

Bandar utama di jajahan Jeli ialah Jeli yang terletak kira-kira 95km dari bandar Kota Bharu. 

No comments:

Post a Comment