Wednesday 19 April 2023

MISKIN BUKAN ALASAN RUMAH KOTOR

 
Saya lahir dalam keluarga miskin, membesar sebagai anak orang miskin, hidup sebagai orang miskin dan sampai sekarang berjiwa orang miskin.
 
Kami 16 beradik membesar sebagai anak orang miskin, Ayah bertugas sebagai imam masjid dan juga bercucuk tanam demi kelangsungan hidup sekeluarga dibantu anak-anak. Alhamdulillah, kami tak pernah lapar dan semua kami ke sekolah. Kesemua adik beradik ada rezeki masuk universiti.
 
Setiap tahun bila nak masuk sekolah, ayah akan pastikan semua anak dapat uniform baharu walaupun hanya sehelai. Baju dan kasut sekolah kena basuh sendiri. Berjalan kaki melalui batas sawah sebagai jalan pintas dan mengekal melalui jalan raya yang agak sibuk dan sempit.
 
Keperluan sekolah kami sentiasa dipenuhi sehingga kami boleh belajar dengan sempurna.
 
Kami duduk di rumah kayu yang sederhana dibina hasil program “Rumah Mara” yang konsepnya macam Rumah Mesra Rakyat sekarang ini. Majlis Amanah Rakyat (MARA) membina rumah yang disubsidi dan kena bayar sebahagiannya.
 
Kemudian ayah besarkan rumah itu sedikit-sedikit apabila bilangan anak bertambah. Walaupun hanya rumah kayu tapi bersih dan selesa.  
 
Nak ajak kita renung, walaupun miskin, tak perlukan kos pun untuk ambik parang dan tebas semak samun keliling rumah. Ambik penyapu dan jadikan halaman rumah bersih dari sampah sarap. Boleh saja ringankan tangan pastikan keadaan dalam rumah tersusun rapi.
 
Bukan perlu belanja pun untuk lipat dan susun kain baju, bersihkan sisa makan, buang sampah sarap dari dalam rumah dan pelbagai kerja lagi. Bukan syarat bila tuan rumah miskin maka segala pandangan yang tak sedap di mata ada di rumah kita walhal tuan rumah sihat saja.
 
Lantai rumah sampai melekit dan berlumut. Boleh hidup dalam keadaan begitu. Rumah sudah jadi macam stor simpan sampah. Sampah sarap di mana-mana bahagian rumah. Lainlah kalau tuan rumah sakit terlantar.
 
Apakah dengan sebab miskin maka anak-anak perlu ke sekolah dengan baju kotor dan comot. Nak basuh baju anak bukan perlukan kos pun. Hanya perlu guna tenaga. Kalau ibu tidak larat, anak-anak yang sudah boleh berdikari boleh basuh sendiri. Tidak ada mesin basuh boleh basuh guna tangan.
 
Banyak juga rumah orang miskin yang kemas dan tersusun rapi. Rumah kayu biasa tapi sedap mata memandang. Depan rumah macam-macam ditanam sayuran buat makan keluarga. Ayam itik ada. Kambing pun ada seekor dua. Sekali imbas, terdetik di hati bahawa tuan rumah ini rajin!
 
Jangan miskin harta, jiwa juga miskin. Kebersihan itu separuh daripada keimanan. Biar miskin tetapi kaya jiwa dan keimanan.

Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment