Tuesday 4 April 2023

PUASA DARI SUDUT KESIHATAN

 
Kepentingan ibadat puasa untuk membentuk ketakwaan sedia diketahui. Hai ini sering disebut dalam ceramah agama dan tulisan berkaitan kelebihan berpuasa. Dalam al-Quran dan hadis dengan jelas menyebut mengenai kaitan puasa dengan ketakwaan.
 
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang-orang beriman!  Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”
 
Tetapi, tidak banyak orang menyebut kebaikan puasa untuk kesihatan. Bahkan, apa yang biasa diperkatakan ialah puasa menyebabkan rasa letih, kurang keaktifan dan masalah kesihatan seperti penyakit gestrik. Pada bulan Ramadan banyak aktiviti luar dihentikan dengan alasan tidak mahu menyebabkan letih dan hilang tenaga. Aktiviti ekonomi dan produktiviti juga terjejas akibat berpuasa. 
 
Hakikat sebenarnya, berpuasa amat baik untuk kesihatan. Banyak kajian telah membuktikan kebaikan amalan berpuasa untuk mengekal tahap kesihatan yang baik, penyembuhan penyakit dan mengelak terkena penyakit berbahaya. 
 
Kebaikan berpuasa kepada kesihatan dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabda bermaksud: “Berpuasalah agar kamu sihat.” (Hadis riwayat Tabrani).
 
Biarpun Rasulullah bukan doktor atau pakar permakanan, namun ilmu atau kepakaran baginda diperoleh langsung daripada Allah Yang Maha Mengetahui. 
 
Puasa sebenarnya mampu meningkatkan keupayaan tubuh badan bagi tujuan penyahtoksidan dan pembersihan. Seseorang yang berpuasa memberi ruang masa yang mencukupi kepada organ pencernaan seperti kolon (usus), pankreas dan hati untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.
 
Ia diumpamakan seperti enjin kenderaan yang diselenggara secara berkala untuk mengekalkan prestasi dan mengelak berlaku kerosakan. Mandapan dan kekotoran di dalam enjin dibersihkan agar proses yang berkaitan peningkatan kuasa dan fungsi-fungsi lain dapat berjalan dengan optimun.
 
Sistem penghadaman dan penyahtoksidan dapat berfungsi dengan baik tanpa diganggu oleh limpahan makanan. Kedua-dua keperluan utama untuk menjamin kesihatan berada pada tahap terbaik itu dapat dilakukan dengan baik berbanding pada bulan-bulan lain.
 
Ketika berpuasa, kegiatan pembersihan badan dapat dilakukan secara lebih menyeluruh dan segala toksin dapat dikeluarkan daripada kolon, buah pinggang, paru-paru, kulit dan pundi kencing.  
 
Pembersihan kolon amat penting. Kajian dikeluarkan Kolej Perubatan England mendapati 90 peratus pelbagai jenis penyakit adalah berkaitan kolon yang tidak bersih. Masalah kolon bertoksid dan tidak sihat menyebabkan kira-kira 5 juta rakyat Malaysia mengalami pelbagai masalah penghadaman seperti kesakitan di bahagian perut, kembung, sembelit dan lain-lain.
 
Semasa perjalanan sepanjang proses penghadaman bermula dari mulut dan berakhir pada dubur, makanan dan minuman mengalami proses meknikal dan kimia bagi membolehkan ia diserap secara sempurna dalam sistem badan sebagai zat dan sumber tenaga. 
 
Sisa makanan dibuang daripada badan kita sebagai najis. Namun, tidak semua sisa makanan dibuang sebagai najis, sebaliknya ada yang tertinggal di dalam sistem kolon dan menimbun membentuk satu halangan seperti satu dinding di kolon. Penimbunan ini berterusan dan jika tidak dibuang akan menimbulkan masalah besar kepada kesihatan kolon dan seterusnya menghalang fungsi kolon.
 
Jadi, cara terbaik untuk mengatasi masalah kolon ialah melalui berpuasa. Ketika kolon tidak dibebani dengan tugas penghadaman (akibat tidak makan), ia akan 'bekerja' untuk membersihkan toksid dan menghakis timbunan toksid yang ada. Pada ketika itu juga semua organ dan kelenjar mendapat kerehatan yang amat diperlukan.
 
Keberkesanan berpuasa sebagai satu asas mengawal dan mengubati penyakit telah diakui seluruh pakar perubatan dan pemakanan moden, termasuk pakar bukan Islam. Sebab itu, konsep berpuasa untuk tujuan perubatan semakin mendapat tempat dalam masyarakat moden hari ini, termasuk di kalangan bukan Islam.    
 
Cara berpuasa orang bukan Islam sekadar menahan diri daripada memakan makanan tertentu dan kaedah-kaedah lain yang menepati kehendak perubatan. Mereka mengambil manfaat puasa untuk tujuan perubatan setelah mengkaji keberkesanannya.  
 
Untuk mendapat kebaikan kesihatan maksimun daripada amalan berpuasa, perlulah mengikut aturan yang diajar oleh Rasulullah. Rasulullah sentiasa mengingatkan agar umatnya tidak makan dengan gelojoh dan terlalu kenyang.
 
Sabda Rasulullah bermaksud: “Makan dan minumlah, berpakaian dan bersedekahlah tanpa berlebih-lebihan dan tidak diiringi dengan kesombongan.” (Hadis riwayat Bukhari). 
 
Dalam al-Quran turut dijelaskan agar tidak makan secara berlebih-lebihan. Firman-Nya dalam surah al-Araf, ayat 31 bermaksud: “Makan dan minumlah dan jangan berlebih-lebihan.”
 
Adab makan yang diamalkan oleh Rasulullah ialah makan apa rasa lapar (etika berpuasa memang kita berbuka ketika perut sedang lapar) dan berhenti sebelum kenyang (ini jarang diamalkan kebanyakan orang). Setiap kali menjemput makanan, hanya sedikit makanan yang diambilnya dan menyuapnya ke dalam mulut dengan bukaan mulut yang sederhana. 
 
Makanan perlu dikunyah sehingga lumat dan baru ditelan.  Cara itu dapat mengawal nafsu makan dan mengelak daripada makan berlebih-lebihan. Makanan yang dikunyah sehingga lumat dapat membantu sistem penghadaman bekerja dengan mudah, selain memberi peluang untuk makanan bercampur dengan enzim yang dikeluarkan oleh air liur. 
 
Kunyah lebih lama juga membolehkan kita menikmati makanan itu lebih sempurna. Jika makanan ditelan segera, maka nikmat makanan berlalu cepat. Sedap atau tidak makanan ditentukan oleh deria lidah dan bukannya di bahagian lain. Jadi, mengapa pula kita cepat menelan tanpa mengunyah lebih lama?
 
Makan dengan gelojoh dan terlalu banyak ketika berbuka akan memaksa sistem penghadaman bekerja dengan lasak secara mengejut setelah ia berehat kira-kira 12 jam. Ini boleh menyebabkan sistem penghadaman tidak dapat menjalankan fungsinya dengan sempurna. 
 
Makan banyak bukan mendatangkan lebih tenaga kepada badan. Sebaliknya, ia menyebabkan masalah kepada kesihatan dan rohani. Kebanyakan orang yang berjaya dalam hidup mengamalkan cara makan yang sihat dan memiliki kesihatan yang baik.   
 
Luqman pernah menasihatkan anak-anaknya dengan katanya: “Hai anakku, apabila perutmu telah penuh sesak dengan makanan, tidurlah fikiranmu, kelulah hikmah (kebijaksanaan) dan berhentilah (malaslah) segala anggotamu dari beriadat kepada Allah dan hilanglah kebersihan hati (jiwa) dan kehalusan pengertian, yang dengan keduanyalah diperolehi kelazatan munajat dan berkesannya zikir pada jiwa.”
 
Budaya menyediakan banyak makanan berbuka mesti dihentikan.  Berbukalah dengan kuantiti makanan yang sederhana. Ambil makanan semasa berbuka sekadar yang diperlukan oleh badan dan bukan yang dikehendaki oleh nafsu.  Ia lebih menjimatkan dan menyenangkan. Fikiran kita menjadi lebih tenteram tanpa dibebankan dengan kehendak nafsu yang ingin itu dan ini. 
 
Bulan Ramadan peluang untuk menambahkan ibadat, bukannya bulan pesta makanan. Nafsu sentiasa menggalakkan kita melakukan amalan yang bertentangan dengan suruhan agama.  Membazir itu sebahagian daripada amalan syaitan. Sedangkan syaitan telah bersumpah akan menyesatkan manusia agar bersama-sama dengannya di dalam neraka pada hari akhirat nanti.
 
Ketika melaksanakan ibadat puasa inilah peluang terbaik untuk kita meninggalkan amalan kesyaitanan, mengambil kesempatan ketika syaitan dibelenggu dan takwa yang lebih tinggi berbanding masa-masa lain. Proses pendidikan melalui ibadat puasa diharapkan dapat diteruskan pada bulan-bulan lain.
 
Pakar pemakanan sentiasa menekankan kepada makanan berkualiti dan bukannya mementingkan kuantiti. Kualiti termasuklah kaitan cara makan yang betul dan kuantiti yang tepat. Pengambilan makanan yang tidak baik menyebabkan masalah kesihatan kepada badan. 
 
Soal kualiti dan kebaikan makanan telah dijelaskan oleh dalam firman-Nya bermaksud: “Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 57).
 
Makanan yang baik-baik dimaksudkan itu turut merangkumi cara ia diperoleh atau sumber dari mana. Makanan yang diperoleh secara mencuri, menipu, rasuah atau bercampur dengan unsur yang meragukan dianggap tidak baik, biarpun secara biologinya mempunyai khasiat yang baik.  
 
Penyakit paling rapat dengan masalah lebih makan ialah berat badan berlebihan. Masalah berat badan berlebihan menjadi punca kepada berbagai penyakit berbahaya lain seperti lemah jantung, kencing manis, darah tinggi dan penyakit berkaitan darah.
 
Cara terbaik mengelak berat badan berlebihan ialah kurangkan makan. Jangan terjadi seperti sesetengah orang yang menjadi lebih gemuk pada bulan Ramadan. Nafsu makannya melebihi daripada biasa, terutama ketika berbuka.
 
Amalan berpuasa berkesan sebagai satu kaedah perawatan dan menjaga kesihatan yang terbaik. Jika telah mengidap penyakit, kita kena berpuasa sepanjang masa daripada memakan jenis makanan tertentu. Contohnya, orang mengidap penyakit manis tidak berpeluang lagi untuk memakan makanan yang manis.
 
Pepatah Arab ada mengatakan: “Perut itu pangkal (punca) penyakit dan berjaga-jaga (berpantang) itu pangkal penawar.”
 
Dari sudut perubatan, sudah dibuktikan ia melakukan pembentukan sel B limfosit yang membantu sistem pertahanan badan melawan penyakit. Berpuasa adalah pengubahsuaian pola pemakanan. Ia juga memberi peluang untuk sel dalam badan pulih daripada kerosakan hasil proses perkumuhan bahan makanan.
 
Kajian Dr Jalila El Atidan yang diterbitkan dalam Jurnal Nutrisi Klinikal Ogos 1995 mendapati berlaku peningkatan pemecahan lemak dalam badan ketika berpuasa. 
 

No comments:

Post a Comment