Friday 24 November 2023

MASJID RAZALEIGH MERCU TANDA GUA MUSANG

 
Hari Jumaat 1 April 2022, adalah detik bersejarah bagi penduduk Gua Musang apabila dapat menunaikan sembahyang Jumaat kali pertama di Masjid Razaleigh yang secara rasminya diterima sebagai masjid yang dibenarkan mengadakan solat Jumaat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Solat Jumaat itu disertai 3000 jemaah, termasuk di kalangan Orang Asli yang tinggal di jajahan Gua Musang.
 
Pada majlis itu dilakukan simbolik penyerahan replika kunci masjid daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Razaleigh Ab Aziz Yusoff kepada Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman.
 
Majlis tersebut disaksikan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, yang juga selaku Yang Dipertua MAIK. Turut hadir majlis tersebut ialah Tengku Razaleigh Hamzah, individu yang menginspirsikan dan menjayakan pembinaan Masjid Razaleigh.   
 
Pembinaan masjid ini diharap menjadi pemangkin kepada kesatuan ummah dan boleh meningkatkan syiar Islam di mata masyarakat. “Selain tempat melaksanakan rukun Islam, masjid juga medan muamalat dalam Islam yang dapat menyatupadukan seluruh umat tanpa mengira bangsa dan keturunan kerana semua sujud pada yang Maha Esa.
 
Masjid Razaleigh yang dibina bermula 2016, menjadi tumpuan dan mercu tanda Gua Musang kerana menampilkan keunikan bercirikan Masjidil Haram di Mekah. Justeru, di kawasan masjid tersebut turut disediakan ruangan kepada bakal haji mengadakan kursus secara praktikal seperti tawaf.
 
Masjid Razaleigh menelan belanja lebih RM34 juta dilengkapi sembilan menara setinggi 30 meter dan tujuh kubah mirip Masjidil Haram.

Masjid yang terletak di tapak bekas Balai Polis lama di bandar lama Gua Musang dibina bagi mengantikan masjid lama kerana kerap tenggelami banjir.

Masjid lama yang terletak tidak jauh dari situ dan ditepi Sungai Galas kerap ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh akhir tahun hingga banyak peralatan rosak dan perlu ditukar baharu.

Masjid Razaleigh turut dilengkapi dengan bilik mandi jenazah lelaki dan perempuan, bilik kuliah, pejabat imam, dewan makan dan ruang solat yang boleh memuatkan 3,500 jemaah pada satu-satu masa.

Pembinaan baharu termoden dan tercanggih itu supaya dapat memberi keselesaan bukan sahaja kepada jemaah daripada penduduk tempatan tetapi juga pengunjung dari luar.
Masjid yang berkeluasan 70,000 kaki persegi itu dibina daripada bahan berkualiti tinggi dan pemasangan jubin atas tapak seluas 1.5 hektar.


No comments:

Post a Comment