Friday 1 December 2023

PERJUANGAN MAT KILAU MENENTANG SISTEM RESIDEN

Perjuangan mencapai kemerdekaan biarpun dicatatkan dalam sejarah dilakukan dengan rundingan tanpa pertumpahan darah, namun sejarah yang panjang sebelum itu telah terpahat nama tokoh terbilang yang berjuang menentang penjajah secara kekuatan.
 
Jika disorot, pasti ramai di antara anak kita yang tidak mengetahui nama terbilang seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Abdul Rahman Limbong, Dol Said, Rentap dan ramai lagi kerana saban hari mereka disogokkan dengan cerita hero khayalan seperti Spiderman atau Superman yang lebih menyeronokkan.
 
Bagi tatapan generasi kini, elok jika diimbau sedikit perjuangan Mat Kilau, seorang tokoh pejuang yang unggul di negeri Pahang. Beliau terkenal dengan keberanian dan kegagahannya melancarkan gerakan penentangan (1891-1895) kerana membantah campur tangan British dalam urusan pentadbiran Pahang.
 
Mat Kilau bin Imam Rasu dilahirkan pada tahun 1865 di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Kelahirannya ketika zaman pemerintahan Raja Bendahara Pahang ketika itu iaitu Tun Ahmad. Bapanya ialah Imam Rasu bin Shahrum atau lebih dikenali dengan nama Tok Gajah, manakala ibunya pula ialah Mahda binti Tok Kaut Burau.
 
Mat Kilau dikatakan mahir mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai "Dikir Pahang". Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras.
 
Pada usia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud yang berasal dari Kampung Kedondong. Imam Daud ialah seorang guru agama di daerah Pulau Tawar, Jerantut, Pahang dan juga merupakan guru mengaji kepada Mat Kilau dan rakan-rakanya.
 
Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang.
 
Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Montok (Hj. Uthman bin Senik) yang merupakan mufti Pahang ketika itu.
 
Mat Kilau juga dikatakan pergi bertapa di Gua Kota Gelanggi yang terletak tidak jauh dari Pulau Tawar untuk mendalami ilmu yang dituntutnya. Gua tersebut masih ada hingga kini.
 
Mat Kilau membantah pelaksanaan sistem Residen yang mengurangkan kuasa Sultan dalam hal-ehwal pentadbiran, sekali gus mengetepikan peranan pembesar tempatan serta kesejahteraan rakyat. 

Dalam strategi awal penentangannya, Mat Kilau mengarahkan pengikutnya memotong talian telegraf bagi menyukarkan dan memutuskan perhubungan antara pegawai pentadbir British.
 
Bagaimanapun, perbuatan ini dapat dikesan pihak British. Pihak British pula cuba memujuk Mat Kilau agar bekerjasama dengan mereka, namun ditolak oleh Mat Kilau. Keengganan Mat Kilau bekerjasama dijadikan alasan oleh British menangkapnya. Dengan ini gerakan memburu Mat Kilau serta pengikutnya mula dilancarkan.
 
Perjuangan dan ketokohan Mat Kilau ini dapat dilihat daripada kesungguhan dan kesanggupan beliau berjuang berterusan menentang British walaupun menghadapi pelbagai kesukaran. Beliau menyedari Sultan yang berada di bawah pengaruh dan telunjuk British tidak mungkin memberi sokongan kepada usaha penentangan itu.
 
Ini ditambah pula dengan ada beberapa pembesar dan orang tempatan sendiri yang sanggup berpihak kepada British dengan menyalurkan maklumat dan menyertai gerakan memburu beliau dan pengikutnya. Mat Kilau juga menyedari bahawa segala alatan senjata tradisi dan jumlah kecil senjata yang digunakan oleh pengikutnya, sukar menandingi senjata moden digunakan askar upahan British.
 
Gerakan penentangan yang tidak bersepadu ditambah dengan jumlah pengikut yang tidak ramai, menyukarkan lagi peluang mereka mengalahkan dan menghalau British dari bumi Pahang. Namun Mat Kilau tetap meneruskan perjuangannya habis-habisan sehingga kampung tempat tinggalnya, iaitu Kampung Budu, dibakar British.
 
Penentangan Mat Kilau walaupun tidak berjaya menyekat kemaraan British, setidak-tidaknya dapat menyedarkan pihak British agar tidak memandang remeh terhadap keupayaan rakyat tempatan yang memiliki kekuatan tersendiri seperti ditonjolkan oleh Mat Kilau.
 
Berdasarkan kepada sumber rasmi di Arkib Negara Malaysia, pihak pentadbir British terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan khidmat tambahan polis Sikh bagi membantu memerangi kumpulan penentang (ada hampir 200 fail dalam simpanan Arkib Negara berkaitan Mat Kilau dan pergolakan di Pahang yang boleh dirujuk).
 
Perbelanjaan tambahan juga diperlukan untuk mendirikan kubu pertahanan, jambatan dan menyediakan peralatan senjata selain membiayai ekspedisi memburu penentang berkenaan. Perkara ini jelas menunjukkan betapa besar ancaman dan tekanan dihadapi pihak British, walaupun kumpulan penentang ini terdiri daripada orang kampung yang tidak terlatih.
 
Malah, mereka ini tidak memiliki senjata canggih untuk menandingi senapang dan polis upahan British, sebaliknya hanya berbekalkan semangat juang yang tinggi dan kecintaan kepada negara yang tidak berbelah bagi.
 
Mat Kilau dianggap musuh utama British. Ini memaksa dia bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk menyembunyikan diri, sehingga ke Kota Bharu, Kelantan. Di Kota Bharu, Mat Kilau tidak terlepas daripada menjadi perhatian pihak berkuasa Inggeris.
 
Pihak Inggeris berjaya mengesan kedudukan Mat Kilau yang membawa kepada penangkapannya. The Free Press melaporkan bahawa "Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya akibat cantasan pedang. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah". Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum, tamatlah sudah riwayat Mat Kilau.
 
Akan tetapi, apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Mat Kilau tidak mati seperti disangkakan. 
 
Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai penderhaka oleh Inggeris, Mat Kilau terpaksa mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke tempat lain dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak 1930, Mat Kilau juga menukar namanya beberapa kali, dengan nama akhirnya ialah Mat Siam.
 
Dalam bulan Disember 1969, Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, keluar daripada persembunyiannya dan memperkenalkan dirinya yang sebenar. Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai, maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya.
 
Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau, maka Mat Kilau dibawa ke kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah membaca Quran dan kemudiannya mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.
 
Pengisytiharan ini telah menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan Jawatankuasa Penyiasat Munchul-nya Mat Kilau yang dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemu ramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Tan Sri Yahaya Mohd Seth.
 
Pada 24 April 1970, Mat Kilau telah memberikan kebenaran kepada pihak Utusan Melayu untuk menerbitkan kitab kepunyaan beliau, Kitab Mat Kilau, sebuah kitab kompilasi doa dan amalan mistik seperti ilmu kebal dan penguat diri. Berdasarkan buku itu, kitab ini ditulis beliau, dan diserahkan bagi jagaan kerabat diraja Kelantan ketika persembunyiannya sebelum diserahkan kepada Utusan Melayu bagi penerbitan kepada masyarakat awam.
 
Orang terakhir yang diamanahkan menyimpan kitab ini ialah Wan Alim bin Wan Hasan, murid Menteri Besar Kelantan Nik Mahmud Nik Ismail yang turut menerbitkan kitab ilmu kebal.
 
Pada hari Sabtu 15 Ogos, beliau telah dilaporkan berada dalam keadaan tenat. Setelah sepuluh hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, pada hari Ahad 16 Ogos kira-kira pukul 6.45 pagi, Mat Kilau meninggal dunia di rumahnya di Batu Lima, Paya Besar, Jalan Kuantan–Gambang kerana keuzuran. 

Mat Kilau ketika itu dipercayai berusia 122 tahun, namun menurut buku Laporan Jawatankuasa Penyiasatan Mat Kilau, beliau meninggal dunia ketika berusia 104 tahun. 

Jenazah Mat Kilau dikebumikan di Kampung Kedondong. Kenduri arwah tujuh hari untuk beliau telah diadakan pada malam Isnin 23 Ogos di Masjid Pulau Tawar, Jerantut dan dihadiri oleh kira-kira 1,200 orang. 

No comments:

Post a Comment