Friday 15 December 2023

PENGORBANAN GURU SK BALAR AMAT BESAR

 
Guru umpama lilin membakar diri. Sanggup melakukan apa sahaja demi melaksanakn tugas mendidik anak bangsa. Biarpun sukar, sehingga terpaksa bergadai nyawa, guru tetap melaksanakan tugas.
 
Itulah antara cabaran dan pengorbanan guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Gua Musang. Ketika hari biasa, perjalanan ke SK Balar mengambil masa kira-kira tiga jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau motosikal melalui jalan balak.
 
Bagaimanapun, ketika hari hujan, terutama ketika musim tengkujuh, masa perjalanan boleh mencecah sehingga sembilan jam. Bukan masa yang disoalkan, tetapi cabaran sepanjang perjalanan itu.
 
Selain jerih perjalanan jauh dan mengambil masa yang lama, guru-guru berkenaan yang mengajar anak Orang Asli suku Temiar uga terpaksa bertabah dengan kemungkinan kenderaan dinaiki rosak. Malah nyawa juga dipertaruhkan dalam banyak keadaan sepanjang perjalanan termasuk mengusung motosikal mengharung arus sungai selepas hujan lebat.
 
Mereka bukan sahaja melalui jalan berselut tidak ubah seperti sawah padi berwarna kekuningan, tetapi juga terpakasa melalui sungai dengan arus laju dan berkedalaman kira-kira satu meter. Untuk melepasi sungai itu, mereka terpaksa mengusung motosikal.
 
Kejadian kerosakan kenderaan dan kemalangan terbalik dan masuk lurah atau gaung bukan asing lagi. Mereka terpaksa menghadapi situasi tersebut setiap kali masuk ke Pos Balar dan sebaliknya.
 
Bagi memastikan keselamatan, terutama jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, guru akan bergerak secara berkumpulan agar dapat membantu antara satu sama lain berlaku kecemasan atau yang memerlukan bantuan.
 
Pengorbanan guru wajar dihargai dan “dibayar” pelajar dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya.
 
"Besar harapan kami agar usaha ini membuahkan hasil apabila melihat anak-anak didik kami terutama anak-anak Orang Asli ini berjaya," kata Guru Besar SK Balar, Mohd Hazlimi Mat Arriffen.
 
Terdapat 20 orang guru mengjar di SK Balar (Disember 2023)

No comments:

Post a Comment