Sunday 31 December 2023

SISTEM SALIRAN BANDAR ATASI BANJIR DI KELANTAN

 
Kerajaan Negeri Kelantan mengambil langkah menghasilkan Pelan Hidrologi dan Sistem Saliran Bandar bagi mengatasi banjir dan masalah sistem perparitan di dalam kawasan Kota Bharu terutama di kawasan Pembangunan Bandar Baru Tunjong dan sekitar Wakaf Che Yeh.

Kerajaan negeri juga telah melaksanakan kerja-kerja menaik taraf Sungai Seribong dan tali air KADA S5K bagi dijadikan saliran utama mengalirkan air ke Laut China Selatan.

Di samping itu, pembinaan dua kolam takungan setiap satu berkeluasan 27.780 ekar dan 14.621 ekar turut dijalankan bagi mengumpulkan air daripada longkang dan saliran di dalam kawasan pembangunan sebelum dilepaskan ke laut.

Seterusnya, kerajaan negeri telah membina dan menaik taraf longkang dan saliran sedia ada di semua kawasan tadahan dan tahap terbalik sebagaimana yang diperakui Kajian Hidrologi dan Sistem Saliran.

Terakhir, kerajaan negeri telah meninggikan aras pelantar tapak di kawasan pembangunan agar semua tapak pembangunan berada pada aras selamat banjir.
 
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula telah melaksanakan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan.

Fasa 1 sedang dilaksanakan dengan kos kontrak RM480 juta. Projek ini melibatkan tiga komponen utama iaitu Rancangan Tebatan Banjir, Menghidupakan Sungai dan Saliran Mesra Alam. Sehubungan itu, skop kerja bagi rancangan tebatan banjir melibatkan kerja-kerja pembaikan Sungai Kelantan dan pembinaan benteng sepanjang 3 kilometer dari Kampung Tikat ke Kedai Buloh, Kota Bharu (sambungan Fasa 1) dan 5.6 kilometer dari Palekbang ke Kok Majid, Tumpat serta pembinaan benterng banjir 1.4 kilometer di Kampung Laut, Tumpat.

Seterusnya, bagi saliran mesra alam melibatkan Saliran Bandar Tunjong manakala skop menghidupkan sungai melibatkan kerja-kerja pengerukan Sungai Pengkalan Datu dan muaranya serta kerja-kerja pengorekan sungai dan pengukuhan tebing dan kerja-kerja Sistem Rawatan Air di Sungai Pengkalan Chepa.

Selain itu, JPS juga telah melaksanakan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di jajahan Kota Bharu yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu untuk mengenal pasti punca-punca kejadian banjir kilat yang berlaku dan sebagai rujukan dalam merancang infrastruktur saliran serta mengenal pasti langkah-langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang secara komprehensif bagi menangani kejadian banjir kilat di kawasan tersebut. 

No comments:

Post a Comment