Wednesday 24 July 2024

PASAR TERAPUNG PULAU SRI TANJUNG

 
Sumbangan pihak swasta atau individu dalam memajukan industri pelancongan di Kelantan semakin terserlah. Banyak destinasi pelancongan kini diuruskan oleh syarikat dan individu. 

Salah satu pihak yang memberi sumbangan besar dalam memajukan ekopelancongan di delta Sungai Kelantan ialah Pulau Sri Tanjung.

Pulau Sri Tanjung adalah syarikat pengendali Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung di Pulau Renjuna, di samping menyediakan inap desa dan tapak perkhemahan serta restoran. Ia juga menyediakan tempat untuk pengendalian kursus untuk kementerian, jabatan, sekolah, NGO dan sebagainya.

Sri Tanjung bermula dengan Restoran Sri Tanjung di satu lokasi di Pulau Renjuna yang dikenali sebagai “tanjung” di kalangan penduduk setempat. Kemudian ia berkembang menjadi inap desa dan kem untuk kursus dan aktiviti berkumpulan di samping menyediakan kemudahan menyewa peralatan rekreasi seperti basikal dan kayak. 

Kini, Sri Tanjung mengorak langkah memperkenalkan Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung. Satu identiti yang patut benar diperkenalkan dan dijadikan satu keistimewaan sebagai aktiviti ekonomi masyarakat di kepulauan. 

Pengunjung berpeluang mengalami pengalaman menaiki bot melalui muara Sungai Kelantan menyusur atau melalui beberapa buah pulau, melihat pemandangan indah tebingan pulau dan kehidupan penduduk pulau.

Di pasar terapung disajikan dengan pemandangan dan pengalaman membeli pelbagai jenis makanan yang dijual di atas perahu atau bot. Kemudian, pengunjung boleh menikmati makanan di kawasan disediakan.

Pelbagai aktiviti menarik juga diadakan untuk menghiburkan dan mendedahkan pengunjung dengan maklumat serta pengalaman yang berguna.

Masa operasi pasar terapung pada setiap Jumaat dan Sabtu bermula pukul 08.00 pagi sehingga 05.00 petang. Pada hari Jumaat ada disediakan bot untuk pergi ke Masjid Mukim Telok Renjuna bagi yang ingin menunaikan sembahyang Jumaat.  

Pengunjung berpeluang berada di kawasan pasar terapung dari pagi hingga petang kerana ia dilengkapi dengan kemudahan untuk bersantai, surau, restoran dan chelet. Kepada yang ingin menginap di situ pun boleh. 

Kewujudan pasar terapung itu memberi peluang kepada penduduk kepulauan menjana ekonomi dengan berniaga di situ, peluang pekerjaan di chelet dan menambah bilangan penumpang bot bagi mereka yang mengusahakan bot penambang. 

Pengunjung boleh ke sana dengan menaiki bot di Jeti Kuala Besar, Kota Bharu atau melalui Jeti Kok Majid, Tumpat. Ada bot penambang yang menyediakan perkhidmatan membawa penumpang yang fungsinya seperti teksi air.

Untuk kemudahan pengunjung, Pulau Sri Tanjung ada menyediakan jeti bot sendiri di Kampung Pulau Pisang untuk keselesaan pengunjung. Selain itu ada juga perkhidmatan bot dari Medan Ikar Bakar dan Jeti Kastam Kota Bharu.

Kawasan kepulauan mempunyai daya tarikan yang unik. Susana perkampungan yang dihiasi dengan pokok nipah di pinggir sungai, sehinggalah lambaian pokok kelapa yang tinggi, serta deruan enjin bot yang sesekali bergema adalah suasana yang tidak terdapat di tempat lain. 







No comments:

Post a Comment