Saturday 10 August 2024

KISAH NISSAN SERENA DAN BUDAK AWIE

 
Sambil minum kopi di beranda rumah..terpandang Nissan Serena Highway Star 1998 aku yang sudah tiga tahun tidak bergerak ke mana-mana. Namun keadaannya masih baik dan injinnya masih senang dihidupkan.

Walaupun telah lama tidak berkhidmat kepada kami sekelurga, Nissan Serena ini masih terjaga dan tidak akan kujualnya. Nissan Serena ini banyak berjasa kepada kami sekeluarga dan juga kepada murid-muridku di Gua Musang ini.
 
Ambo dan isteri sempat menggunakan kenderaan ini semasa berkhidmat di empat buah sekolah di daerah Gua Musang ini. SMK Tengku Indra Petra, SMK Tengku Indra Petra 2, SMK Chiku 2 dan SMK Sungai Asap.
 
Sepanjang ambo menggunakannya, telah banyak murid-murid ambo yang dibawa dengan kenderaan ini sama ada menghantar mereka ke rumah jika tertinggal bas atau sebagainya.
 
Malah ambo sempat menggunakan Nissan Serena ini untuk menghantar pelajar yang ibu bapa mereka tidak mempunya kenderaan sendiri yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah untuk mendaftarkan diri di universiti seluruh Malaysia. Dan kini mereka itu telah berjaya dan ada yang mencapai tahap Doktor Falsafah atau PHd.
 
Di kalangan murid ambo, ada beberapa orang yang mempunyai lesen memandu, ambo beri kepercayaan kepada mereka untuk memandu dan menggunakan kenderaan ini. Salah seorang daripada mereka ialah Azmawi Fikri atau budak Awie. 

Budak Awie ni sejak zaman persekolahan lagi adalah seorang yang bercita-cita tinggi dan sukar mengaku kalah. Malah selepas tamat STPM ambo beri budak Awie menggunakan kenderaan ini untuk beliau uruskan beberapa perkara khususnya berkaitan dengan perniagaan. Awie ni peringkat awal dia berniaga ayam proses yang diambil dari pembekal di Perak.
 
Ambo lihat budak Awie ni sangat gigih lalu ambo membawanya ke SSM Kota Bharu untuk daftar perniagaan atas nama KazTek Enterprise. Bermula dari sinilah budak Awie ni memulakan perniagaannya secara serius sehingga kini muncul seorang ahli korporat muda yang berjaya.
 
Walaupun kini telah berjaya dan perniagaannya mencapai jutaan ringgit tetapi budak Awie ni tidak sombong dan sentiasa datang ke rumah ambo bekas gurunya yang telah pencen. Isteri ambo, cikgu Ummi juga gurunya yang dianggap seperti ibunya sendiri. Setiap kali datang ke rumah Awie akan tengok Nissan Serena ini dan menyatakan banyak kenangannya bersama kereta usang ini.
 
Kini Budak Awie sedang berjuang dalam bidang politik dan telah dicalonkan untuk menjadi ADUN Neggiri mewakili Barisan Nasional. Cikgu dan Cikgu Ummi sentiasa memberi sokongan kepada kamu Awie selagi kamu buat yang terbaik dan berbakti kepada rakyat di Gua Musang ini yang masih ramai lagi memerlukan bantuan untuk mengubah nasib dan masa depan mereka.
 
Kami doakan Awie berjaya dan bakal dipilih oleh rakyat Nenggiri. Semoga anak-anak murid saya yang lain juga bersama Awie untuk berkhidmat kepada rakyat di Gua Musang dan menjadikan Daerah Gua Musang maju setanding dengan daerah lain.
 
Yaakkkk bokte...rancak nulis hal Nissan Serena ni sampai sejuk doh kopi O ni...
Kena mama mung buat lain dah ni..
 
Oleh: Azuri Hamzah

No comments:

Post a Comment