Benarkah ada hadis atau sunah berkenaan
Nabi SAW memakan secubit garam? Ada dakwaan mengenai riwayat yang dimaksudkan
adalah berkenaan wasiat Nabi SAW kepada Saidina Ali dengan lafaz riwayat yang
amat panjang. Potongan hadis berkenaan makan garam itu adalah seperti berikut:
“Apabila kamu hendak makan, maka mulai dan akhirilah dengan garam.” (Musnad
al-Harith)
Hadis ini diriwayatkan oleh Saidina Ali bahawa
beliau berkata Rasulullah SAW menyebut hadis di atas kepada beliau. Setelah
melakukan penelitian, kajian mendapati sanad hadis ini terdapat perawi yang
daif iaitu al-Sariy bin Khalid, Hammad bin Amru dan Abd al-Rahim bin Waqid.
Al-Zahabi menyebutkan bahawa Abd al-Rahim
bin Waqid merupakan guru kepada al-Harith bin Abi Usamah dan merupakan perawi
yang daif. Dalam Mizan al-I’tidal, al-Zahabi menukilkan kritikan al-Khatib lagi
yang menyebutkan bahawa hadis-hadisnya mungkar kerana diriwayatkan daripada
perawi dalam kalangan daif dan majhul.
Sementara itu, daripada Ibnu Abbas meriwayatkan
bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiga suap garam sebelum dan selepas makan
melindungi diri anak Adam daripada 72 jenis bala antaranya penyakit gila, kusta
dan sopak.
Al-Zahabi menyebutkan Abu Ali ‘Abd
al-Rahman bin Muhammad bin Ahmad adalah sebagai periwayat hadis, namun dia
seorang Syiah Rafidah. Dalam jalur sanad bagi hadis ini terdapat dua orang
perawi yang majhul iaitu al-Fadl bin ‘Abbas al-Khadib al-Harawi dan Abdullah
bin Musa bin Ziyad al-Tajiru al-Marwazi. Hal ini kerana, kedua-dua perawi ini
tidak ditemui biodatanya setelah penelitian dilakukan.
Sementara itu, Ali bin al-Husain menceritakan kepadaku, Ali bin Abi Talib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Ali, makanlah garam kerana ia menjadi penawar bagi 70 penyakit seperti kusta, sopak dan gila”
.
Selain itu, Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang panjang: “Dan sesiapa yang memakan garam sebelum menjamah makanan dan setelah selesai makan, maka dia terselamat daripada 360 jenis penyakit yang paling ringan sakitnya ialah kusta dan sopak.”
Berdasarkan perbincangan para ulama berkenaan dengan hadis-hadis yang membicarakan tentang memakan garam sebelum menjamah makanan, maka dapat disimpulkan bahawa hadis-hadisnya adalah palsu.
No comments:
Post a Comment