Thursday, 26 December 2024

NAJIS BURUNG MERPATI BERBAHAYA

 
Longgokan najis burung merpati dalam keadaan kering dan terbiar bagi tempoh lama terutama dalam bangunan lebih berisiko membawa penyakit kepada manusia terutama gangguan pernafasan.
 
Pada asasnya najis burung merpati yang masih baru tidak membawa jangkitan dan berisiko rendah kecuali jika dalam perut burung sudah mempunyai jangkitan bakteria.
 
Bagaimanapun ia tidak boleh dikatakan sifar risiko kerana najis itu akan berisiko tinggi apabila ia sudah kering dan terbiar lama.
 
Ada empat parasit dalam najis 
unggas itu iaitu histoplasmosis dan cryptococcosis daripada keluarga kulat atau fungi dan psittacosis dan solmonellosis daripada keluarga bakteria yang berbahaya kepada manusia.
 
Kebiasaannya, ada dua jenis merpati iaitu liar dan domestik. Merpati liar adalah burung yang hidup di hutan, namun yang menjadi isu adalah merpati domestik atau urban pigeon yang hidup bebas, tidak dipelihara, membiak dalam skala tinggi serta tiada yang menguruskan (tidak dibela).
 
Keadaan risiko menjadi lebih serius apabila kelompok burung merpati membuat sarang dan membuang najis dalam bangunan tertutup berbanding kawasan terbuka.
 
Perkara itu perlu dilihat kepada bilangan burung berkenaan. Semakin banyak bilangan burung semakin tinggi kemungkinan jumlah najis yang tidak terurus dalam bangunan.
 
Kulat dan bakteria akan hasilkan debu. Bakteria kering dibawa angin seolah-olah seperti debu. Dalam penyelidikan saintifik menyatakan kes dalam sistem pernafasan (adalah) tinggi berbanding gejala lain.
 
Kulat mempunyai spora (struktur pembiakan organisma), jadi angin membawa kulat ke udara dan ia boleh tersebar dan masuk ke salur pernafasan manusia.
 
Berdasarkan pengalaman kajian dan penilaian risiko kesihatan pekerjaan bagi mengenal pasti punca kes membabitkan pekerja industri di dalam bangunan, didapati simptom pekerja itu adalah batuk dan selesema hingga ada yang perlu dirawat di hospital. Justeru, pastikan pakai pelitup muka jika urus najis merpati. 

No comments:

Post a Comment