Setiap
orang sudah pasti mengimpikan kejayaan dalam setiap apa yang dilakukan. Tetapi
untuk berjaya tidak beroleh hanya berpeluk tubuh atau mengharapkan kepada
takdir semata-mata.
Setiap
orang yang ingin mencapai kejayaan hidup perlu menghadapi pelbagai rintangan
sebelum mencapai kejayaan. Seperti kata pepatah; jika tidak dipecahkan ruyung
masakan akan dapat sagunya.
Sesungguhnya
hanya individu yang cekal, bijak, dan mempunyai cita-cita yang tinggi sahaja
mampu melepasi rintangan untuk menuju ke puncak kejayaan.
Sebenarnya
kejayaan dalam bidang apa sekalipun adalah nilai diri atau maruah diri
seseorang. Individu yang berjaya, sentiasa mementingkan harga diri agar seiring
dengan kejayaan yang dicapai.
Sebaliknya,
individu yang gagal mempertahankan maruah diri akan berdepan dengan
pertentangan nilai hidup antara kejayaan yang dicapai, dan maruah yang tercalar
yang secara langsung memberi kesan kepada keseluruhan hidupnya.
Sebab
itu kerajaan amat menekankan kepada kecemerlangan yang seimbang dalam semua
aspek. Falsafah Pendidikan Negara menetapkan matlamat untuk melahirkan
individu-individu pelajar yang seimbang dari segi jasmani, rohani, intelek, dan
emosi.
Ketika
melalui usia remaja memang terdapat banyak perubahan yang berlaku dalam diri
seseorang, terutama dari segi emosi, seks dan fizikal. Sebenarnya usia remaja
adalah permulaan kepada membentuk personaliti.
Kehidupan
dalam usia remaja banyak dipengaruhi persekitaran; di mana tempat tinggal,
dengan siapa berkawan, serta pengaruh media juga tidak kurang hebatnya.
Penguasaan ibu bapa terhadap anak di peringkat usia remaja semakin berkurangan,
melainkan jika sejak usia kanak-kanak lagi ibu bapa telah berjaya menerap
amalan hidup berkeluarga yang kuat.
Remaja
perlu mempunyai perancangan yang jelas dalam minda untuk meletakkan diri pada
landasan yang betul menuju kehidupan dewasa yang berjaya berbekalkan pendidikan
yang baik dan budi pekerti yang luhur.
Perancangan
amat penting untuk menentukan kejayaan hidup. Sesiapa yang tidak menetapkan
perancangan seolah berada di sebuah dunia khayalan. Remaja yang tidak mempunyai
perancangan hidup mengisi masa remaja dengan aktiviti yang mereka fikirkan
memberi kepuasan, tidak perlu bersusah payah, dan ikut apa sahaja kehendak
hati.
Apa
yang jelas, ramai remaja yang tidak mementingkan maruah hidup tanpa hal tujuan.
Malah, mereka tidak memahami apa itu maruah. Bagi mereka maruah hanya dikaitkan
dengan hubungan sesama mereka. Remaja mudah terasa tercabar jika dipermainkan
sesama mereka. Pantang sahaja dicabar akan terus disahutnya.
Sebaliknya,
mereka tidak ambil peduli jika yang menegur itu ibu bapa atau orang dewasa.
Mereka menganggap orang dewasa tidak memahami perasaan atau jiwa remaja.
Kononnya, zaman ketika ibu bapa melalui usia remaja dahalu tidak sama dengan
zaman apa yang mereka lalui sekarang.
Fenomena
ini menjadi punca mengapa masalah moral remaja semakin meruncing. Dalam hal ini
bukan ibu bapa dan orang dewasa tidak berperanan membentuk moral remaja ke arah
kebaikan, tetapi remaja sendiri tidak mahu menerima apa yang difikirkan baik
untuk mereka.
Dalam
menilai diri, remaja perlu jujur mengenali diri sendiri. Kesilapan yang biasa
berlaku ialah apabila individu tidak mengenali diri sendiri; yakni kelebihan
dan kelemahan diri. Sebab inilah menjadi
punca mengapa remaja tidak merebut peluang yang baik untuk mereka.
Ahli
falasafah Yunani yang terkenal, Aristotle pernah mengatakan bahawa kita menjadi
apa yang selaku kita lakukan. Sekiranya kita ingin mencapai kecemerlangan, maka
perlulah selalu melakukan apa yang membolehkan mencapainya. Sesungguhnya
kecemerlangan tidak dapat dicapai dengan menggunakan jalan pintas yang mudah
tanpa mengikut peraturan.
No comments:
Post a Comment