Monday 11 January 2021

ELAK PEMBAZIRAN MAKANAN JAGA ALAM SEKITAR

Sebagai rakyat Malaysia, masalah pembaziran makanan tidak asing lagi bagi kita. Setiap tahun, pasti akan ada peningkatan kadar pembaziran makanan.

Sifat tamak tidak terkawal segelintir rakyat menjadi punca masalah ini melanda Malaysia dan ia seharusnya dibendung supaya tidak mengundang padah, termasuk menjadi penyumbang kepada perubahan iklim.

Berdasarkan statistik Food Aid Foundation, rakyat Malaysia membuang 15,000 tan makanan setiap hari dengan 3,000 tan makanan masih boleh dimakan. Lebih mengejutkan lagi SWCorp melaporkan rakyat Malaysia membuang 4,005 tan makanan yang masih boleh dimakan pada Ramadan 2019 sahaja.

Masalah pembuangan makanan ini amat membimbangkan kerana pelupusan makanan ini seharusnya dilakukan dengan cara betul supaya ekosistem tidak terjejas.

Sebagai contoh, peningkatan sisa akan mendesak syarikat pelupusan atau berdasarkan negara tertentu membabitkan kerajaan untuk meluaskan lagi kawasan tanah lupus yang memakan ruangan tanah rizab ataupun kawasan perhutanan.

Malaysia bukanlah negara yang terjejas dengan masalah kemiskinan atau kebuluran secara drastik. Sebagai contoh, negara benua Afrika seperti Somalia, Ethiopia dan Afrika Selatan antara yang menghadapi masalah kebuluran sehingga mendapat perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malaysia sepatutnya mengambil iktibar bahawa kelebihan makanan yang ada di Malaysia adalah satu nikmat dan rezeki yang Tuhan berikan.

Oleh itu, kita seharusnya sedar akan impak dan implikasi rentetan daripada pembaziran makanan di Malaysia.

PBB menggariskan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang antara lain digariskan khusus untuk membantu menyelesaikan masalah kemiskinan, melindungi persekitaran di seluruh dunia dan memastikan bahawa semua orang menikmati kedamaian dan kesejahteraan menjelang 2030.

Dalam kerangka perbincangan ini, PBB menggariskan matlamat ke-12, iaitu memastikan corak penggunaan dan pengeluaran lestari supaya jejak bahan manusia pada skala global berkurangan.

Pada 2017, jejak bahan manusia secara global mencecah 85.9 bilion tan dan kadar ini tidak akan berkurangan jika tiada apa-apa yang kita lakukan sebagai tindak balas corak penggunaan yang tidak lestari.

Antara cara kita boleh mengurangkan jejak bahan secara global adalah dengan membuat kompos sisa makanan. Jika berkemampuan, anda boleh membuat kompos sisa makanan hanya di belakang rumah supaya dapat mengurangkan jumlah makanan yang dibuang ke tanah pelupusan.

Gas metana dilepaskan daripada larutan sisa makanan ke dalam tanah adalah berbahaya dan turut menjadi antara penyumbang kepada perubahan iklim.

Justeru, menggunakan kaedah melupuskan makanan di rumah, jumlah gas metana dilepaskan ke udara akan berkurang lantas menurunkan peluang terjadinya pertukaran iklim.

Menyentuh lebih lagi mengenai perkara ini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memulakan satu langkah untuk mengurangkan sisa makanan di kampus Gombak dengan membuat projek pelupusan sisa makanan.

Projek ini seiring inisiatif hijau dilancarkan di kampus UIAM yang bertujuan menjadikan universiti ini bertaraf eko-kampus dan secara langsung menjadikan UIAM lebih mesra alam.

Sebagai penutup, masalah pembaziran makanan yang berlaku di Malaysia boleh diatasi bersama. Jika setiap individu berusaha keras mengurangkan jumlah pembuangan makanan, lama-kelamaan, jumlah makanan yang terbuang akan berkurangan.

Justeru, masalah perubahan iklim dan pencemaran tidak akan lagi menjadi satu gangguan buat rakyat Malaysia.

Mohamad Yusoff
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

 

No comments:

Post a Comment