Monday, 30 May 2022

PASAR TERAPUNG SRI TANJUNG PULAU RENJUNA

 
Nama Sri Tanjung, Pulau Renjuna, Kepulauan Delta Sungai Kelantan Tumpat semakin mengukir nama dalam aktiviti pelancongan di kawasan kepulauan.

Sri Tanjung bermula dengan Restoran Sri Tanjung di satu lokasi di Pulau Renjuna. Kemudian berkembang menjadi chelet dan kem untuk kursus dan aktiviti berkumpulan di samping menyediakan kemudahan menyewa peralatan rekreasi seperti basikal dan kayak.

Kini, Sri Tanjung mengorak langkah memperkenalkan Pasar Terapung Sri Tanjung atau Floating Market Sri Tanjung.

Masa operasi pasar terapung pada setiap Jumaat bermula pukul 02.00 petang sehingga 05.00 petang. Manakala pada hari Sabtu pula bermula pukul 08.00 pagi sehingga 04.00 petang.

Pengunjung berpeluang berada di kawasan tersebut dari pagi hingga petang kerana ia dilengkapi dengan kemudahan untuk bersantai, surau, restoran dan chelet.

Pengunjung boleh ke sana dengan menaiki bot di Jeti Kuala Besar, Kampung Kuala Besar dan dan Jeti Medan Ikan Bakar (MBI), Kampung Kedai Buloh. Kedua-dua jeti tersebut terletak di Jajahan Kota Bharu. Pengunjung juga boleh melalui Jeti Kok Majid, yang terletak di sebelah Jajahan Tumpat. 

Ada bot penambang yang menyediakan perkhidmatan membawa penumpang yang fungsinya seperti teksi air. 

Selain itu, ada juga bot-bot sewa khas yang bertolak dari Jeti Tambatan Diraja berhampiran Masjid Muhammadi, atau-atau jeti lain yang ada di sepanjang Sungai Kelantan.

Kewujudan Pasar Terapung Sri Tanjung memberi kesan besar kepada ekopelancongan di delta Sungai Kelantan, yang sekali gus  merancakkan aktiviti ekonomi penduduk. 

Ia memberi peluang pendapatan kepada pemilik bot, peniaga dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti berkaitan. 


No comments:

Post a Comment