Saturday 14 January 2023

PUNCA BERLAKU KECELARUAN JANTINA

 
Pondan, kedi, lembut dan panggilan-panggilan yang seumpama merujuk kepada lelaki yang bersifat perempuan. Sebenarnya, terdapat tiga golongan yang dikategorikan sedemikian, termasuk transexual (mereka yang menjalani pembedahan menukar jantina), transvestite (mereka yang sekadar berasa perlu berpakaian atau berkelakuan mengikut jantina berbeza) dan homoseksual (mereka yang cenderung pada kaum sejenisnya).
 
Golongan yang dikategorikan transvestite sekadar suka bergaya ala orang perempuan dan pada hakikatnya mereka sedar dan masih ingin kekal sebagai lelaki.

Malah, sebahagian mereka dalam tempoh tertentu akan kembali menjadi lelaki normal biarpun masih kelihatan lembut, terutama apabila sudah berkahwin.   
 
Transvestism ialah amalan berpakaian dan berperangai yang bertentangan dengan jantina. Fenomina ini mula berlaku sekitar tahun 1910-an. Perkataan transvestism mula diperkenalkan oleh Magnus Hirschfeld yang bermaksud ‘berlawanan’ dengan norma jantina, contohnya lelaki yang berminat berpakaian wanita dan sebaliknya.
 
Manakala anak yang dikategorikan sebagai transexual pula bukan setakat suka beraksi seperti wanita tetapi golongan ini menyimpan hasrat untuk menukar jantina.
 
Golongan ini adalah golongan lelaki yang ingin menjadi wanita kerana berasa diri mereka terperangkap dalam tubuh lelaki. Mereka bencikan bentuk tubuh mereka. Mereka ingin menghapuskan bulu-bulu di badan dan ingin mengencangkan buah dada.
 
Golongan inilah yang cenderung melakukan pembedahan untuk menukar penampilan mereka. Kajian rata-rata menunjukkan tidak terdapat sebarang punca dari segi biologi dan ia dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan persekitaran seseorang. 
 
Sebagai contoh, anak yang tidak mempunyai seorang ayah sebagai contoh dalam keluarga atau ayah yang tidak banyak terlibat dalam pembangunan anak dan keluarga boleh merangsang keadaan sebegini.

Ada kalanya juga sesetengah ibu bapa yang terlalu inginkan anak perempuan kemudian memilih untuk mengenakan anak lelaki dengan pakaian anak perempuan juga boleh menjadi penyebab.   
 
Apa yang masyarakat sekeliling sedari ialah tentang kecenderungan kumpulan sebegini menjadi bahan usikan yang sekali gus hanya akan membuat mereka berasa lebih sunyi dan ingin bersikap tertutup. Adalah lebih baik untuk menghentikannya semasa anak itu masih kecil.
 
Pun begitu, jangan lakukan secara membabi buta. Lakukan secara berhemah. Perlu ada keseimbangan. Nyatakan yang kelakuannya tidak dapat diterima dan dia perlu berubah. Bimbing dan beritahu mereka perbuatan itu salah dan perlu dihentikan.  
 
Sebagai contoh, jika anak itu sengaja menggunakan suara lembut ketika bercakap-cakap, jangan mempedulikan kata-katanya sehingga dia kembali menggunakan suara asalnya.

Sekiranya ibu bapa berasa sukar untuk membantu anak kembali ke jantina asalnya, ada baiknya anak itu dibawa ke doktor untuk mendapatkan rawatan segera.
 
Manakala golongan homoseksual pula individu yang sukakan kepada jantina yang sama. Contohnya lelaki yang minat kepada lelaki dipanggil gay, manakala wanita yang cenderung kepada wanita pula digelarkan lesbian.

Gambar - Pantai Kampung Kandis, Mukim Telong, Jajahan Bachok - sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment