Friday 6 January 2023

CARA BERKOMUNIKASI DI MEDIA SOSIAL

 
Dosa manusia banyak berpunca daripada keterlanjuran mulut yang tidak dikawal. Ada pepatah menyebut, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana’.
 
Sebab itulah, besarlah faedahnya sesiapa mampu menjaga etika daripada memperkatakan yang tidak baik sama ada secara fizikal mahupun di alam siber.  
 
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Saya memberi jaminan sebuah rumah dalam kebun syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan, meskipun dia benar. Saya juga memberi jaminan sebuah rumah di tengah-tengah syurga bagi orang yang tidak berbohong walaupun sekadar bergurau. Dan saya juga memberi jaminan sebuah rumah di tempat yang paling tinggi di dalam syurga bagi orang yang mempunyai budi pekerti yang baik.” - (Hadis riwayat Abu Daud). 
 
Tutur kata yang baik boleh diumpamakan seperti mutiara yang disukai semua orang. Sebab itu tutur kata yang baik akan menarik minat orang lain mendengarnya dengan perasaan yang ceria, kagum dan mengiyakan.
 
Tarikan kepada kata-kata akan meletakkan penutur sebagai orang yang disenangi, disanjungi, dicontohi dan diterima kata-kata itu untuk tujuan kebaikan.
 
Sebab itu Islam amat prihatin terhadap cara bercakap agar tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Setiap perkataan yang dikeluarkan dari mulut melibatkan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah. 
 
Percakapan juga seperti perbuatan yang melambangkan tahap keimanan seseorang. Orang beriman menjaga setiap tutur katanya bagi mengelak perkara buruk akibatnya seperti mengumpat, menyebar fitnah, mengeji dan berbohong. 
 
Memandangkan besarnya bencana berpunca daripada lidah, Rasulullah menganjurkan agar sesiapa tidak mampu mengawalnya daripada berkata-kata yang tidak baik, adalah lebih baik dia mengamalkan sifat ‘mendiamkan diri’. 
 
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka bercakaplah perkara yang baik atau mendiamkan diri.” - (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).
 
Berdiam diri adalah cara paling mudah menyelamatkan diri daripada terlibat dengan fitnah, mengumpat dan berkata-kata perkataan tidak perlu. Dalam hadis lain Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang diam, dia akan selamat.” - (Hadis riwayat Ahmad). 
 
Beruntunglah sesiapa dapat menjaga kata-katanya sehingga menjadi lambang ketulusan budi dan pekertinya. Sesiapa sentiasa berkata yang benar dan disenangi orang lain, hidupnya dalam kesejahteraan dan damai sentiasa.
 
Memang tidak dinafikan agak sukar berdiam diri terutama ketika berada dikelilingi ahli keluarga, kawan dan rakan setugas, takut nanti pula dikatakan sombong, tidak pandai bergaul dan anti sosial. Inilah sebenarnya cabaran yang terpaksa dihadapi dan berusaha menyesuaikan diri dalam keadaan memerlukan kebijaksaaan fikiran dan kekuatan iman.
 
Jelas sekali bahawa diam atau mengelak diri daripada memperkatakan perkataan buruk adalah satu hukum atau perintah yang amat-amat dituntut dilakukan. 
 
Tidak dinafikan kadangkala perkataan yang diucapkan tidak melambangkan maksud sebenar yang hendak diucapkan. Jadi, sekiranya telah terkeluar perkataan tidak baik, cepat-cepat bertaubat dan mengaku kesalah diri. Adalah mulia orang yang mengaku kesalahan dan ikhlas menarik balik keterlanjuran kata-kata.
 
Perumpamaan lidah dan hubungan di alam siber digunakan bagi mengambil pengajaran daripada apa yang dijelaskan oleh Rasulullah berkaitan jangan adab dalam berhubung dengan individu lain.

No comments:

Post a Comment