Friday, 28 February 2025

ISLAM PENTINGKAN ADAB KEJIRANAN

 
Islam pentingkan adab kejiranan dan menekankan aspek hak asasi individu, keadilan sosial dan keselamatan dalam kehidupan harian. Aspek ini penting bagi mengelak membawa terjadinya perpecahan, dengki, bermusuhan dan khianat dalam masyarakat.
 
Kemantapan dan keutuhan hubungan kejiranan bergantung kepada ketinggian budi pekerti, semangat kekitaan dan saling menghormati yang diamalkan. Amalan itu mewujudkan suasana kehidupan kejiranan selesa, selamat dan muhibah.      
 
Tuntutan supaya berbuat baik dengan jiran dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh.” (Surah an-Nisa, ayat 36)
 
Islam bererti damai dalam segala bentuk kehidupan. Individu muslim mesti menterjemahkan kedamaian itu dalam dirinya dan masyarakat. Jangan lakukan perbuatan mengganggu individu lain secara fizikal, mental ataupun emosi.  
 
Islam menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia satu keperluan. Hidup kita tidak terlepas daripada mempunyai jiran. Hubungan baik dengan jiran dapat mewujudkan kehidupan setempat yang aman dan harmoni.
 
Jiran yang perlu dihormati tidak terhad kepada jiran beragama Islam sahaja. Wajib menghormati dan menjaga hak-hak jiran bukan Islam, termasuk berkaitan kepercayaan dan amalan agama mereka. Perkara ini amat penting diamalkan di negara ini yang mempunyai penduduk berbilang kaum, adat dan agama anutan.
 
Sikap toleransi terhadap jiran bukan Islam penting kerana ia juga sebahgaian daripada dakwah. Amalan itu memberi imej baik berkaitan Islam. Ia dapat mengelak provokasi atau tindakan balas daripada penganut agama lain jika hak mereka diganggu.  
 
Rasulullah SAW amat mementingkan hubungan dengan jiran dan menekankan perkara yang sama kepada para sahabat. Perkara ini dijelaskan oleh Ibn Umar bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa beliau (iaitu jiran) yang akan mewarisinya (pusaka).” (Hadis riwayat Bukhari)
 
Jiran tinggal paling hampir dengan rumah kita. Segala perkara yang berlaku terlebih dulu diketahui jiran. Jiran adalah orang paling dekat untuk memohon pertolongan ketika ditimpa musibah seperti kebakaran, kecurian atau kematian sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak saudara.  
 
Kita wajib menghulur bantuan kepada jiran mengikut kemampuan, lebih-lebih lagi dalam soal kecemasan yang melibatkan keselamatan nyawa.
 
Firman Allah yang bermaksud: “Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Surah al-Maidah, ayat 2)


No comments:

Post a Comment