Monday, 4 June 2018

PERNIAGAAN JALIN HUBUNGAN BAIK SESAMA MANUSIA


Sistem ekonomi Islam menetapkan bahawa urusan perniagaan perlu dijalankan berdasarkan kepada matlamat melahirkan masyarakat yang taat kepada perintah Allah dan menjalin hubungan baik sesama manusia. Peniaga dan pembeli masing-masing mendapat faedah melalui urusan perniagaan yang dijalankan.
 

Era perniagaan sekarang dikaitkan dengan globalisasi, iaitu kecekapan dalam perdagangan hasil daripada keterbukaan urusniaga melampaui batasan geografi dan negara. Pengaliran atau pergerakan modal dan barangan berlaku dengan lebih mudah yang memberi kebaikan kepada masyarakat seluruh dunia. 

Namun, globalisasi seperti memperlihatkan sesuatu yang tidak menyenangkan banyak pihak di kalangan negara miskin dan sedang membangun. 

Melalui globaliasi seakan memberi peluang kepada negara kuasa besar yang kaya untuk lebih mudah menindas dan menguasai negara miskin dan sedang membangun. 

Apa yang berlaku hasil mekanisma ini akan membentuk satu penjajahan cara moden atau penjajahan ekonomi yang dilihat lebih mencengkam dan memberi kesan lebih buruk berbanding penjajahan fizikal terhadap negara miskin dan sedang membangun. 

Globalisasi merupakan satu usaha baru yang dilakukan pihak yang ingin mengaut keuntungan secara rakus berdasarkan kepada sistem ekonomi kapitalis. 

Fahaman kapitalis menggunakan urusan perniagaan sebagai mekanisma bagi mendapat keuntungan sebanyak mungkin walaupun melibatkan penindasan. 

Dalam fahaman kapitalis membolehkan orang kaya dan bijak menjadikan kelemahan dan kejahilan pihak yang berurusan denganya untuk menindas. 

Spekulasi dan manipulasi yang dibenarkan berlaku dengan berleluasa dalam sistem ekonomi kapitalis yang menetapkan keuntungan dan kepuasan sebagai matlamat hidup adalah elemen-elemen yang boleh membawa kepada penindasan.

Fahaman tersebut bertentangan dengan ketetapan Islam di mana harta bukan matlamat kehidupan. Harta dimiliki manusia hanya dipinjamkan oleh Allah untuk kesejahteraan hidup manusia.  Justeru, harta yang dimiliki perlu diperoleh dan diuruskan mengikut aturan yang ditetapkan.

Globalisasi adalah satu penjajahan era baru yang dilakukan oleh  negara kaya terhadap negara miskin. Pun begitu, jika umat Islam bijak menghadapi dan menggunakan kesempatan yang terbuka dalam era globalisasi, ini berupaya membentuk kerjasama kukuh sesama negara Islam. 

Negara-negara Islam mempunyai jumlah penduduk yang ramai yang membolehkan urusan perniagaan dua hala yang menguntungkan sesama negara Islam. Pengurangan penggantungan negara Islam terhadap negara bukan Islam hendaklah dilakukan secara berperingkat-peringkat. 

Negara-negara Islam mempunyai jumlah penduduk yang ramai yang membolehkan urusan perniagaan dua hala yang menguntungkan sesama negara Islam. Pengurangan penggantungan negara Islam terhadap negara bukan Islam hendaklah dilakukan secara berperingkat-peringkat. 

Contohnya, penggunaan dinar emas seperti dicadangkan dalam perniagaan antara bangsa merupakan satu mekanisma yang mampu membendung spekulasi mata wang. Negara-negara Islam perlu pantas dan komited melaksanakan sesuatu untuk kepentingan bersama. 

Penggunaan dinar emas akan membawa penyelesaian kepada kejatuhan untung disebabkan masalah turun naik nilai matawang yang dimainkan oleh spekulator matawang. 

Sekiranya seluruh umat Islam bersatu mampu membentuk kesatuan perdagangan yang kuat dan dapat memberi sumbangan berharga untuk kesejahteraan seluruh umat manusia. Umat Islam perlu bersedia menghadapi apa juga bentuk cabaran dan bukannya menjadi mangsa kepada perubahan.

No comments:

Post a Comment