Monday, 4 June 2018

KHIDMAT PENIAGA KEPADA PEMBELI

Urusan perniagaan tidak terhad membeli dan menjual barangan semata-mata. Penyediaan perkhidmataan, sewaan dan sebagainya termasuk dalam urusan perniagaan. Semua itu dianggap khidmat peniaga kepada pembeli (pengguna). Semua urusan jual beli dilakukan dengan niat mencari keuntungan bagi kedua-dua pihak pembeli dan penjual.

Islam membenarkan peniaga mendapat keuntungan di atas khidmat diberikan. Peniaga memperuntukan modal, kepakaran, fikiran, tenaga dan masa untuk menjalankan perniagaan. Di atas perkhidmatan itu peniaga berhak mendapat keuntungan selain berdepan kemungkinan berdepan dengan kerugian. 

Manakala pembeli pula perlu membayar untuk memperoleh barangan atau menggunakan perkhidmatan. Pembeli berhak mendapat manfaat atas apa yang dibayar berdasarkan terma-terma yang diketahui atau dipersetujui.   

Berdasarkan kepada hakikat bahawa peniaga dan pembeli saling memerlukan, hubungan antara kedua-dua pihak perlu saling menghormati, menjaga hubungan baik dan memahami keperluan antara satu sama lain. 

Amalan ini penting bagi menjamin perniagaan berjalan dalam suasana harmoni, selesa, selamat, berterusan dan memenuhi keperluan.

Sebaliknya, dalam perniagaan berasaskan fahaman globalisasi lebih mudah wujud penidasan. Syarikat gergasi akan melakukan monopoli perniagaan melalui ‘sekatan’ keupayaan syarikat kecil. Amalan tersebut secara langsung merupakan satu penindasan akibat sikap tamak. 

Islam melarang sebarang bentuk monopoli kerana amalan tersebut bertentangan dengan kepentingan umum. Syarikat besar sepatutnya membantu syarikat kecil agar wujud persaingan sihat.   
  
Perluasan kuasa monopoli sudah tentu memberi cabaran besar kepada negara Islam yang rata-rata merupakan negara pengguna. Kewujudan industri kecil yang cuba dibangunkan di negara Islam mungkin tergugat akibat globalisasi. 

Ketika ini penguasaan perdagangan dunia berada di tangan bukan Islam menyukarkan untuk umat Islam melakukan sesuatu yang bersifat melawan arus. Satu cadangan untuk mengurangkan kesan tersebut ialah pembentukan  kesatuan di kalangan negara-negara Islam. 

Kesedaran dan kefahaman etika dalam perniagaan perlu disebarkan di kalangan umat Islam yang sekarang ini lebih tertumpu kepada urusan dalam skala kecil dan melibatkan cara tradisional. 

Hubungan perniagaan sesama negara Islam perlu ditingkatkan bagi membentuk satu rangkaian perniagaan yang lebih besar membina kekuatan umat Islam dalam menghadapi ancaman globalisasi.  

Malah menjadi satu fardu kifayah kita perlu meningkatkan keupayaan penyediaan produk halal untuk keperluan seluruh umat Islam. Sekarang ini keperluan produk halal untuk umat Islam dikeluarkan oleh pengeluar bukan Islam. Sebab itu isu pelanggaran produk halal sering dilaporkan dilakukan oleh pengeluar bukan Islam.       

Secara umumnya, Islam menetapkan etika perniagaan yang perlu diamalkan oleh setiap  peniaga ialah jujur, amanah dan ikhlas. Sebaliknya, peniaga yang melanggar etika digariskan, bermakna menjalankan perniagaan terkeluar dari landasan ditetapkan Islam. Apa yang dilakukan itu hanyalah dusta bagi mendapat keuntungan secara batil. 

Islam melihat amalan peniagaan merupakan cara manusia saling membantu dan mendapat kebaikan. Ini menggantikan amalan riba yang dijalankan berdasarkan cara  penindasan dan mementingkan diri sendiri.

Tetapi, peniagaan yang dijalankan dengan unsur penindasan dan penipuan juga  sebahagian daripada perbuatan berbentuk riba. Urusan perniagaan yang tidak menepati etika peniaga Islam tidak diiktiraf sebagai perniagaan yang dihalalkan.

Antara amalan menyebabkan urusan perniagaan menyerupai riba ialah peniaga menetapkan harga lebih tinggi daripada kebiasaan. Islam tidak membenarkan sebarang bentuk penindasan. Biarpun peniaga mendakwa hak mereka menentukan harga ditawarkan, tetapi menyalahi kontrak sosial atau hubungan baik antara peniaga dengan pembeli.

Dalam istilah perniagaan, sikap peniaga menaikkan harga sesuka hati atau memperdayakan pembeli dengan harga lebih tinggi dipanggil manipulasi harga. Amalan tersebut mudah dilakukan melalui amalan globalisasi di mana pasaran modal dan barangan boleh bergerak dengan bebas.

Dalam era globalisasi peniaga bebas menentukan harga barangan dan perkhidmatan berdasarkan kepada penawaran dan permintaan. Syarikat gergasi yang melakukan monopoli mudah memberi tekanan kepada pengguna dengan mengawal penawaran dan tingkat harga.

Sistem kapitalis era globalisasi meletakkan peniaga seperti raja yang berhak menentukan apa ingin dilakukan. Hal ini merupakan balikan daripada konsep pengguna di mana pembeli sebagai raja. 

Hukum Islam menetapkan keadilan berdasarkan apa terbaik bagi kedua-dua pihak. Amalan perniagaan dalam Islam membenarkan turun naik harga barang berdasarkan kepada konsep keuntungan yang diperlukan oleh peniaga. 

Peniaga berhak menaikkan harga jika kos modal meningkat. Perkara ini dilakukan bagi memastikan peniaga terus mendapat keuntungan dan boleh meneruskan perniagaan.  

Keadaan ini penting bagi menjamin keperluan pembeli dapat ditunaikan. Jika peniaga rugi dan tidak dapat meneruskan perniagaan, pembeli juga menanggung kesannya.

Justeru, dalam menyelesaikan permasalahan tersebut, Islam mengharuskan peniaga meningkatkan harga. Bahkan, pembeli sendiri sudah pasti dapat menerima hakikat dan bersedia membayar lebih bagi mendapatkan barang yang diingini jika mengetahui kenaikan harga berpunca daripada kenaikan kos terpaksa ditanggung oleh peniaga. 

Namun, manipulasi harga yang dirancang memerangkap pembeli bukan satu aturan perniagaan yang dibenarkan dalam Islam. Kejujuran dan keikhlasan peniaga menaikkan dan menurunkan harga berdasarkan kepada modal yang dikeluarkan amat ditekankan.  

Dengan kata lain, globalisasi adalah satu penjajahan era baru yang dilakukan oleh negara kaya terhadap negara miskin. Pun begitu, jika umat Islam bijak menghadapi dan menggunakan kesempatan yang terbuka dalam era globalisasi, ini berupaya membentuk kerjasama kukuh sesama negara Islam. 

Negara-negara Islam mempunyai jumlah penduduk yang ramai yang membolehkan urusan perniagaan dua hala yang menguntungkan sesama negara Islam. Pengurangan penggantungan negara Islam terhadap negara bukan Islam hendaklah dilakukan secara berperingkat-peringkat. 

Contohnya, penggunaan dinar emas seperti dicadangkan dalam perniagaan antara bangsa merupakan satu mekanisma yang mampu membendung spekulasi mata wang. Negara-negara Islam perlu pantas dan komited melaksanakan sesuatu untuk kepentingan bersama. 

Penggunaan dinar emas akan membawa penyelesaian kepada kejatuhan untung disebabkan masalah turun naik nilai mata wang yang dimainkan oleh spekulator mata wang. 

Sekiranya seluruh umat Islam bersatu mampu membentuk kesatuan perdagangan yang kuat dan dapat memberi sumbangan berharga untuk kesejahteraan seluruh umat manusia. Umat Islam perlu bersedia menghadapi apa juga bentuk cabaran dan bukannya menjadi mangsa kepada perubahan.

No comments:

Post a Comment