Saturday, 30 May 2020

PERATURAN UNTUK MENJAGA AGAMA AGAR TIDAK DIFITNAH


Di masjid masih belum dibenarkan untuk melakukan aktiviti keagamaan sepenuhnya seperti sebelum wabak Covid-19. Jumlah jemaah masih dihadkan mengikut ketetapan majlis agama negeri masing-masing. 

Maka, ada yang mempersoalkan, mengapa pula pusat membeli-belah dibuka kepada jumlah pengunjung lebih ramai?

Mengapa begitu? Terdapat kaedah mengenai pelaksanaan sesuatu hukum atau peraturan yang perlu dipatuhi. Islam melihat kepada keperluan dan kesannya.

Tidak berjemaah di masjid bukan melibatkan akidah dan keperluan yang mesti ditunaikan. Orang Islam masih boleh berjemaah di rumah bersama ahli keluarga untuk mendapat pahala berjemaah. 

Kalau pada waktu biasa, tidak semua ahli keluarga pergi berjemaah di masjid, tetapi pada masa Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) hampir semua ahli keluarga boleh berjemaah, jika benar-benar ingin berjemaah.

Untuk mendapat pahala sembahyang berjemaah tidak semestinya melakukannya di masjid. Berjemaah di rumah pun dapat pahala berjemaah. Memanglah, pahala bersembahyang di masjid lebih pahala berbanding menunaikan bersembahayang berjemaah di tempat lain. 

Namun, menghidupkan amalan berjemaah melibatkan seluruh ahli keluarga di rumah juga tidak kurang pahalanya.

Kita sedia maklum, wabak Covid-19 mudah merebak tidak mengenal tempat dan siapa. Bayangkan jika wabak itu melibatkan kluster masjid? Apa pandangan orang bukan Islam jika wabak itu ‘berpusat’ di masjid?

Pastinya kejadian itu akan menjadi fitnah kepada agama Islam. Umat Islam akan dipersalahkan. Sebelum ini kluster tabligh telah dipersalahkan konon menjadi punca wabak Covid-19 tersebar dengan banyak.

Isu tutup atau menghadkan bilangan jemaah di masjid bukan hanya berlaku di negara kita. Seluruh dunia mengamalkan atau menetapkan peraturan itu. Bahkan, dua masjid umat umat Islam iaitu Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah pun membuat peraturan yang sama. 

Hal ini telah diputuskan oleh pentadbir atau pengurusan kedua-dua masjid berkenaan yang pastinya telah mengambil kira pelbagai aspek dan keperluan.

Mereka yang arif atau alim mengenai agama pasti membuat sesuatu keputusan berdasarkan kepada tuntutan agama. Mereka mengikut Maqasid Syariah yang perlu menjaga agama dan nyawa, selain akal, keturunan dan harta.

Institusi agama dan penganut Islam perlu dijaga agar tidak mengundang fitnah dalam soal penyebaran Covid-19 ini. Sedangkan pusat membelibelah, kedai makan, bank dan sebagainya tidak perlu dijaga daripada fitnah.

Selain itu, banyangkan jika pusat membeli-belah tidak dibuka, di manakah orang ramai boleh mendapatkan barang keperluan? Sedangkan jika masjid tidak dibuka kepada orang ramai, umat Islam masih boleh menunaikan solat, termasuk solat berjemaah di rumah masing-masing.

Berdoalah semoga wabak Covid-19 cepat lenyap dari muka bumi Malaysia agar selepas ini masjid boleh dibuka seperti sebelum ini. Ketika itu, kita berharap agar bilangan jemaah setiap waktu menyamai bilangan jemaah solat Jumaat.

No comments:

Post a Comment