Sunday, 13 June 2021

RUKUN AKAD JUAL BELI

Perkataan ’akad’ boleh diterjemahkan membawa maksud kontrakDalam istilah fiqh, akad memberi maksud: "ikatan yang terhasil daripada dua ungkapan atau apa saja yang mengambil tempatnya sebagai bahasa isyarat dan penulisan oleh dua pihak yang berlainan yang boleh melahirkan hukum syarak tertentu".

Seperti ibadat lain, akad juga ada rukun. Pada pandangan Hanafi, rukun akad satu saja iaitu ijab dan qabul. Sedangkan jamhur faquha menyatakan rukun akad ada tiga. Tiga rukun itu ialah ijab dan qabul, pihak yang berakad, serta perlu ada subjek akad.

Ijab dan qabul - Adalah ungkapan atau perkataan menunjukkan persetujuan dua pihak berkontrak. Bagi Hanafi, ijab merujuk perkataan diucap orang pertama dan qabul oleh orang kedua, tanpa mengira siapa pemilik dan pembeli. 

Contohnya, jika pembeli mengatakan saya ingin membeli buku ini, maka ucapan itu dianggap ijab. Manakala ucapan persetujaun penjual buku itu dijadikan sebagai qabul.

Namun, jumhur faquha berpegang kepada siapa pengucapnya. Pemberi milik, contohnya penjual, ucapannya dianggap sebagai ijab. Manakala, penerima milik pula dikatakan melakukan qabul. Jadi, tidak kisah siapa yang memulakan ucapan dalam urusniaga itu. 

Ijab dan qabul tertakluk kepada syarat sah, yakni ia hendaklah menggambarkan secara jelas kehendak sebenar pihak yang melakukan akad. Maka, kelayakan itu tertakluk bahawa orang melakukan akad itu waras dan memahami apa diungkapkan. 

Ini bermaksud, akad orang tidak berakal dan tidak memahami apa yang diungkapkan adalah tidak sah. Budak dan orang tidak waras tidak sah akadnya kerana tergolong tidak mampu memahami apa sebenarnya ingin dilakukan. 

Syarat kedua adalah kandungan qabul mesti selaras dengan kandungan ijab. Ia membawa maksud apa terkandung dalam ijab adalah juga menjelaskan maksud qabul sama. Contohnya, jika A mengatakan ingin menjual kamera NIKON D300 dengan harga RM4000, maka qabul daripada B juga ada membeli kamera NIKON D300 dengan harga RM4000. 

Kandungannya dianggap tidak selari jika qabul B ingin membeli kamera CANON EOS 300 dengan harga RM4000. Biarpun harganya sama, tetapi ia melibatkan barang berlainan. Yakni menunjukkan kandungan qabul tidak selari dengan kandngan ijab.  

Syarat ketiga menetapkan ungkapan qabul hendaklah saling berkaitan dan ada kesinambungan  seperti ungkapan ijab, yakni perkara itu berlaku dalam satu majlis, serta kedua-dua pihak saling memahami ungkapan dikeluarkan.

Akad terdapat sighahnya, yakni apa jua cara digunakan untuk melakukan akad itu, sama ada perkataan, perbuatan atau kaedah lain yang difahami. Penyataan secara langsung amat penting kerana jika ia tidak dizahirkan, maka apa yang terkandung di dalam hati tidak diketahui orang lain. 

Jadi, apa yang hanya terdetik di dalam hati tanpa dizahirkan tidak dianggap sebagai satu akad, sama ada ijab mahupun qabul.

Akad sebenarnya menjelaskan mengenai kehendak. Dalam hal ini, kehendak terdapat dua kategori, yakni kehendak dalaman (batin) dan kehendak luaran (zahir). Kehendak dalaman adalah apa terdetik di dalam hati ataupun niat. Apa yang dalaman hendaklah dizahirkan dalam bentuk perkataan atau apa-apa bentuk yang diterima syarak.

Kehendak luaran pula merujuk kepada apa-apa tindakan atau perbuatan yang dizahirkan untuk menyatakan kehendak itu. Ia sama ada dalam bentuk perkataan, perbuatan dan sebagainya yang diterima syarak.

Subjek akad - rukun kedua ini merujuk kepada sesuatu yang berlaku ke atasnya atau yang menjadi sasaran utama dalam akad berkenaan. Sesungguhnya subjek akad berbeza sifatnya. Ia bergantung jenis akad itu, sama ada berbentuk material seperti kereta yang dijadikan subjek jual beli, mahupun manfaatnya saja seperti rumah kedai dalam akad sewaan. Selain itu, subjet akad boleh juga dalam bentuk khidmat atau tenaga bagi akad wakalah.

Subjek akad perlu memenuhi syarat tertentu. Pertamanya tidak berlawanan dengan kehendak dan hukum syarak. Contohnya, akad mencuri tidak sah kerana perbuatan itu ditegah syarak. Perkara kedua ialah benda itu ada semasa akad dijalankan. 

Pun, syarat ini tidak disepakati. Elemen ketiga pula menetapkan kedua-dua pihak tahu maklumat lengkap tentang subjek akad. Manakala terakhirnya, subjek akad berkenaan boleh diserahkan pada masa dipersetujui. 

Pihak yang berakad - Merujuk kepada mereka yang membuat penawaran pada sebelah pihak dan sebelah pihak lagi ialah penerimaan. Seperti telah disebut sebelum ini, pihak berakad tertakluk kepada mereka mempunyai kelayakan (al-ahliyyah) saja.

Al-ahliyyah merujuk kepada seseorang yang layak dan boleh melakukan akad pada pandangan syarak. Ia meliputi kelayakan menerima dan melaksana. Kelayakan itu pula terbahagi kepada kelayakan sempurna dan tidak sempurna. Ini merujuk kepada peringkat perkembangan hidup dari peringkat janin hingga umur baligh.

Al-ahliyah juga berdepan halangan meliputi halangan semuajadi dan halangan disebabkan manusia. Halangan semulajadi seperti gila, terencat akal, tidur atau sakit yang membawa mati. Halangan disebabkan manusia pula adalah bodoh, yakni tidak mampu mengurusakan hartanya. Mabuk juga termasuk dalam disebabkan oleh manusia.

 

No comments:

Post a Comment