Wednesday, 8 December 2021

IBU BAPA IMPIKAN ANAK SOLEH

 
Ibu bapa mengimpikan anak menjadi soleh. Tapi ibu bapa sendiri jarang memikirkan untuk menjadi bapa atau ibu yang soleh. 

Sejauh mana ibu bapa mampu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dalam melaksanakan kehidupan seharian. 

Memang, ibu bapa yang mengharapkan anak menjadi soleh, rata-rata terdiri ibu bapa yang baik. Kerana itu mereka mengharapkan anak menjadi soleh. 

Tetapi, ada juga ibu bapa yang beriya-iya inginkan anak menjadi baik, malangnya tidak bersikap baik. Mereka layak dipanggil seperti ketam mengajar anak berjalan betul. 

Amat penting ibu bapa sendiri melakukan transformasi diri untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik agar dapat menjadi ikutan kepada anak-anak. Anak-anak mudah meniru dan mengikut apa yang dilakukan oleh ibu bapa. 

Sikap ibu bapa yang mudah menyalahkan pihak lain antara perbuatan yang tidak elok diamalkan. 

Banyak ibu bapa atau orang dewasa hanya pandai komen, merungut, marah, tidak puas hati terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Sikap itu diperhati oleh anak-anak dan akan turut terpengaruh dengan perbuatan itu.

Perbuatan itu nampak lumrah dan perkara biasa. Tetapi hakikatnya ia banyak mempengaruhi sikap anak-anak. Sikap demikian akan melahirkan generasi yang hanya tahu marah, merungut dan sifat negatif apabila berdepan sesuatu situasi. 

Jika itu berlaku, kita tidak akan muhasabah diri. Yang kita tahu ialah menyalahkan pihak lain.

Ibu bapa sepatutnya menunjukkan contoh bahawa kita perlu lebih rasional berdepan sesuatu perkara. Banyakkan muhasabah diri dan mencari jalan yang lebih baik untuk berdepan sesuatu situasi. 

Anak yang berpandangan positif dan berkeyakinan berdepan sesuatu keadaan akan lebih berjaya dan bersedia berdepan dengan apa juga cabaran.

Kita ingin mendidik anak menjadi soleh kerana ia merupakan salah satu daripada tiga talian hayat kepada ibu bapa selepas mengadap Pencipta di alam barzah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim).

Mungkin terkesan dengan hadis berkenaan, pada masa ini seperti menjadi aliran baharu kepada ibu bapa yang berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz, sekolah agama dan pondok bagi melahirkan kumpulan anak soleh, sekali gus mampu mendoakan mereka dan menjadi penampung kepada amalan yang dikhuatiri masih belum mencukupi semasa di alam barzakh kelak.

Walau bagaimanapun, jangan pula keadaan sebaliknya yang berlaku iaitu hanya mengharapkan anak-anak sahaja menjadi soleh tetapi tidak pula ibu bapa mereka berusaha untuk berjalan seiring dengan anak-anak mereka.

Amat tidak adil, kita mengharapkan anak-anak mendoakan kita tetapi pada masa sama tidak pula kita mendoakan kesejahteraan ibu bapa kita. Wajarkah sekiranya perkara seperti ini dibiarkan terjadi?.

Sekiranya amalan kita, iaitu ibu bapa tidak mencapai status yang sepatutnya maka masih belum terlambat untuk belajar. 

No comments:

Post a Comment