Banjir
adalah bencana. Apa-apa juga jenis bencana bukan boleh dikawal. Ia berlaku
dengan ketentuan Allah. Kita tidak mampu melawan apa yang telah ditetapkan.
Apa
yang boleh kita lakukan ialah berusaha untuk kesan bencana tidak bertambah
buruk atau sehingga tidak terkawal. Allah memberi kita akal dan keupayaan untuk
bertindak mendepani apa juga ujian.
Ingatlah,
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Janganlah kamu membuat kerosakan di muka
bumi, sesudah Allah memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut
tidak akan diterima dan harapan akan dikabulkan. Sesungguhnya rahmat Allah amat
dekat kepada orang-orang yang berbuat baik." (Surah Al A'raaf, ayat
56)
Dalam
hal ini, di negara kita, apabila ada berlaku bencana, bantuan menyelamat dan
segala bentuk tindakan dilakukan dengan secepat mungkin dan mematuhi tata cara
operasi menyelamat.
Pihak penyelamat dengan sedaya kemampuan berusaha melakukan yang terbaik, bahkan kadangkala membahayakan nyawa sendiri. Bab soal letih dan tidak sempat makan tidak lagi dipedulikan. Selagi mampu bergerak, mereka terus melakukan tugas dengan penuh dedikasi.
Namun,
sudah namanya bencana, banyak perkara yang dilakukan di luar kebiasaan. Lalu, ia
tidak memuaskan hati semua pihak, biarpun pihak berkenaan telah mencuba
melakukan yang terbaik.
Justeru,
banyak tulisan di media sosial menyalahkan pihak-pihak tertentu punca bantuan
lambat sampai di kawasan bencana banjir di Selangor.
Tidak
perlulah menjadi keyboard warrior menyalahkan sana dan sini. Sekarang
bukan masa untuk menunding jari. Nasib mangsa banjir tidak terbela atau menjadi
lebih baik dengan salah menyalah.
Ya,
tidak dinafikan ada kekurangan atau ‘kesalahan’ yang berlaku. Tetapi, perkara
itu boleh dibincangkan dalam bedah siasat selepas ini. Ketika itu, buatlah
cadangan dan apa sahaja yang ingin diluahkan.
Sekarang
ini adalah lebih baik dan jauh lebih bermanfaat jika dapat turut turun bersama
sekurang-kurangnya membantu operasi mencuci dan membersihkan rumah-rumah mangsa
banjir.
Bagi
yang ada sedikit kelebihan kewangan boleh menyumbang dalam pelbagai bentuk
termasuk peralatan asas seperti tilam, bantal, selimut, peralatan dapur, air
mineral, makanan asas dan lain-lain.
Realitinya
terlalu ramai mangsa yang terjejas dan hakikatnya tiada siapa boleh dakwa
mereka sahaja yang mampu membantu semua.
Yang
penting jangan banyak menuding jari tapi terus turun dan buat.
Ingatlah
pesan Nabi SAW bagi yang sentiasa membantu meringankan beban saudaranya. Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya yang mana
hamba-Nya itu sentiasa menolong saudaranya yang lain” (Hadis riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment