Wednesday, 11 January 2023

PENDUDUK KELANTAN LEBIH AWAL TERIMA ISLAM

 
Kelantan dikatakan antara negeri terawal menerima kedatangan Islam di Nusantara. Biarpun tidak jelas masa mulanya, tetapi bukti sejarah mengatakan agama Islam mula bertapak dan dianuti penduduk Kelantan sejak kira-kira 1180 Masihi atau 577 Hijrah.
 
Tafsiran tersebut dibuat berdasarkan kepada penemuan dinar emas pada tahun 1941 di kawasan bekas tapak Kota Kubang Labu yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Kelantan pada sekitar 1702 Masihi.
 
Pada muka depan dinar tersebut tertulis perkataan Arab ‘al-Mutawakkal Allah’ yang bermaksud ‘berserah kepada Allah’. Manakala di muka belakangnya tertulis perkataan ‘al-Julus Kelantan’ bermaksud ‘Kerajaan Kelantan”.
 
Di bahagian atas perkataan tersebut tertulis angka Arab 0VV bermaksud 577. Angka 557 tidak dinyatakan sebagai tahun, tetapi telah ditafsir oleh ahli sejarah sebagai tahun 577 Hijrah yang bersamaan tahun 1180 atau 1881 Masihi.
 
Berdasarkan kepada penemuan dinar emas itu, dapat disimpulkan bahawa agama Islam telah bertapak dan dianuti rakyat Kelantan sejak abab keenam Hijrah atau abad ke 12 Masihi.
 
Jika bahan sejarah ini dapat diterima sebagai bukti berkaitan penerimaan ajaran Islam di Kelantan, bermakna Kelantan lebih awal kira-kira 300 tahun daripada Melaka didatangi pendakwah Islam.
 
Kewujudan kerajaan di tanah Kelantan lebih awal berbanding Melaka yang dibuka oleh Parameswara pada sekitar 1400 Masihi.
 
Sedikit tentang penyebaran Islam khasnya di Pantai Timur, agama ini tersebar melalui para pendakwah dan pedagang yang berkunjung ke pelabuhan-pelabuhan di sebelah Pantai Timur yang menghadap Laut Champa, biasanya menjadi persinggahan utama kepada mereka yang datang dari arah China atau yang ingin meneruskan perjalanan ke China atau ke pelabuhan-pelabuhan di sepanjang Segenting Kra, seterusnya ke Indochina.

No comments:

Post a Comment