Dosa manusia banyak berpunca daripada
keterlanjuran mulut yang tidak dikawal. Ada pepatah menyebut, ‘kerana pulut
santan binasa, kerana mulut badan merana’.
Sebab itulah, besarlah faedahnya sesiapa
mampu menjaga etika daripada memperkatakan yang tidak baik sama ada secara
fizikal mahupun di alam siber.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Saya
memberi jaminan sebuah rumah dalam kebun syurga bagi orang yang meninggalkan
perdebatan, meskipun dia benar. Saya juga memberi jaminan sebuah rumah di
tengah-tengah syurga bagi orang yang tidak berbohong walaupun sekadar bergurau.
Dan saya juga memberi jaminan sebuah rumah di tempat yang paling tinggi di
dalam syurga bagi orang yang mempunyai budi pekerti yang baik.” - (Hadis
riwayat Abu Daud).
Tutur kata yang baik boleh diumpamakan
seperti mutiara yang disukai semua orang. Sebab itu tutur kata yang baik akan
menarik minat orang lain mendengarnya dengan perasaan yang ceria, kagum dan
mengiyakan.
Tarikan kepada kata-kata akan meletakkan
penutur sebagai orang yang disenangi, disanjungi, dicontohi dan diterima
kata-kata itu untuk tujuan kebaikan.
Sebab itu Islam amat prihatin terhadap cara
bercakap agar tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Setiap perkataan
yang dikeluarkan dari mulut melibatkan hubungan sesama manusia dan hubungan
dengan Allah.
Percakapan juga seperti perbuatan yang
melambangkan tahap keimanan seseorang. Orang beriman menjaga setiap tutur
katanya bagi mengelak perkara buruk akibatnya seperti mengumpat, menyebar
fitnah, mengeji dan berbohong.
Memandangkan besarnya bencana berpunca
daripada lidah, Rasulullah menganjurkan agar sesiapa tidak mampu mengawalnya
daripada berkata-kata yang tidak baik, adalah lebih baik dia mengamalkan sifat
‘mendiamkan diri’.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka bercakaplah perkara
yang baik atau mendiamkan diri.” - (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).
Berdiam diri adalah cara paling mudah
menyelamatkan diri daripada terlibat dengan fitnah, mengumpat dan berkata-kata
perkataan tidak perlu. Dalam hadis lain Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa
yang diam, dia akan selamat.” - (Hadis riwayat Ahmad).
Beruntunglah sesiapa dapat menjaga
kata-katanya sehingga menjadi lambang ketulusan budi dan pekertinya. Sesiapa
sentiasa berkata yang benar dan disenangi orang lain, hidupnya dalam
kesejahteraan dan damai sentiasa.
Memang tidak dinafikan agak sukar berdiam
diri terutama ketika berada dikelilingi ahli keluarga, kawan dan rakan setugas,
takut nanti pula dikatakan sombong, tidak pandai bergaul dan anti sosial.
Inilah sebenarnya cabaran yang terpaksa dihadapi dan berusaha menyesuaikan diri
dalam keadaan memerlukan kebijaksaaan fikiran dan kekuatan iman.
Jelas sekali bahawa diam atau mengelak diri
daripada memperkatakan perkataan buruk adalah satu hukum atau perintah yang
amat-amat dituntut dilakukan.
Tidak dinafikan kadangkala perkataan yang
diucapkan tidak melambangkan maksud sebenar yang hendak diucapkan. Jadi,
sekiranya telah terkeluar perkataan tidak baik, cepat-cepat bertaubat dan
mengaku kesalah diri. Adalah mulia orang yang mengaku kesalahan dan ikhlas
menarik balik keterlanjuran kata-kata.
Perumpamaan lidah dan hubungan di alam
siber digunakan bagi mengambil pengajaran daripada apa yang dijelaskan oleh
Rasulullah berkaitan jangan adab dalam berhubung dengan individu lain.
No comments:
Post a Comment