Kepentingan ibadat puasa untuk membentuk
ketakwaan sedia diketahui. Hai ini sering disebut dalam ceramah agama dan
tulisan berkaitan kelebihan berpuasa. Dalam al-Quran dan hadis dengan jelas
menyebut mengenai kaitan puasa dengan ketakwaan.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat
183 bermaksud: “Wahai orang-orang beriman!
Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang
yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”
Tetapi, tidak banyak orang menyebut
kebaikan puasa untuk kesihatan. Bahkan, apa yang biasa diperkatakan ialah puasa
menyebabkan rasa letih, kurang keaktifan dan masalah kesihatan seperti penyakit
gestrik. Pada bulan Ramadan banyak aktiviti luar dihentikan dengan alasan tidak
mahu menyebabkan letih dan hilang tenaga. Aktiviti ekonomi dan produktiviti
juga terjejas akibat berpuasa.
Hakikat sebenarnya, berpuasa amat baik
untuk kesihatan. Banyak kajian telah membuktikan kebaikan amalan berpuasa untuk
mengekal tahap kesihatan yang baik, penyembuhan penyakit dan mengelak terkena
penyakit berbahaya.
Kebaikan berpuasa kepada kesihatan
dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabda bermaksud: “Berpuasalah agar kamu
sihat.” (Hadis riwayat Tabrani).
Biarpun Rasulullah bukan doktor atau pakar
permakanan, namun ilmu atau kepakaran baginda diperoleh langsung daripada Allah
Yang Maha Mengetahui.
Puasa sebenarnya mampu meningkatkan
keupayaan tubuh badan bagi tujuan penyahtoksidan dan pembersihan. Seseorang
yang berpuasa memberi ruang masa yang mencukupi kepada organ pencernaan seperti
kolon (usus), pankreas dan hati untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.
Ia diumpamakan seperti enjin kenderaan yang
diselenggara secara berkala untuk mengekalkan prestasi dan mengelak berlaku
kerosakan. Mandapan dan kekotoran di dalam enjin dibersihkan agar proses yang
berkaitan peningkatan kuasa dan fungsi-fungsi lain dapat berjalan dengan
optimun.
Sistem penghadaman dan penyahtoksidan dapat
berfungsi dengan baik tanpa diganggu oleh limpahan makanan. Kedua-dua keperluan
utama untuk menjamin kesihatan berada pada tahap terbaik itu dapat dilakukan
dengan baik berbanding pada bulan-bulan lain.
Ketika berpuasa, kegiatan pembersihan badan
dapat dilakukan secara lebih menyeluruh dan segala toksin dapat dikeluarkan
daripada kolon, buah pinggang, paru-paru, kulit dan pundi kencing.
Pembersihan kolon amat penting. Kajian
dikeluarkan Kolej Perubatan England mendapati 90 peratus pelbagai jenis
penyakit adalah berkaitan kolon yang tidak bersih. Masalah kolon bertoksid dan
tidak sihat menyebabkan kira-kira 5 juta rakyat Malaysia mengalami pelbagai
masalah penghadaman seperti kesakitan di bahagian perut, kembung, sembelit dan
lain-lain.
Semasa perjalanan sepanjang proses
penghadaman bermula dari mulut dan berakhir pada dubur, makanan dan minuman
mengalami proses meknikal dan kimia bagi membolehkan ia diserap secara sempurna
dalam sistem badan sebagai zat dan sumber tenaga.
Sisa makanan dibuang daripada badan kita
sebagai najis. Namun, tidak semua sisa makanan dibuang sebagai najis,
sebaliknya ada yang tertinggal di dalam sistem kolon dan menimbun membentuk
satu halangan seperti satu dinding di kolon. Penimbunan ini berterusan dan jika
tidak dibuang akan menimbulkan masalah besar kepada kesihatan kolon dan
seterusnya menghalang fungsi kolon.
Jadi, cara terbaik untuk mengatasi masalah
kolon ialah melalui berpuasa. Ketika kolon tidak dibebani dengan tugas
penghadaman (akibat tidak makan), ia akan 'bekerja' untuk membersihkan toksid
dan menghakis timbunan toksid yang ada. Pada ketika itu juga semua organ dan
kelenjar mendapat kerehatan yang amat diperlukan.
Keberkesanan berpuasa sebagai satu asas
mengawal dan mengubati penyakit telah diakui seluruh pakar perubatan dan
pemakanan moden, termasuk pakar bukan Islam. Sebab itu, konsep berpuasa untuk
tujuan perubatan semakin mendapat tempat dalam masyarakat moden hari ini,
termasuk di kalangan bukan Islam.
Cara berpuasa orang bukan Islam sekadar
menahan diri daripada memakan makanan tertentu dan kaedah-kaedah lain yang
menepati kehendak perubatan. Mereka mengambil manfaat puasa untuk tujuan
perubatan setelah mengkaji keberkesanannya.
Untuk mendapat kebaikan kesihatan maksimun
daripada amalan berpuasa, perlulah mengikut aturan yang diajar oleh Rasulullah.
Rasulullah sentiasa mengingatkan agar umatnya tidak makan dengan gelojoh dan
terlalu kenyang.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Makan dan
minumlah, berpakaian dan bersedekahlah tanpa berlebih-lebihan dan tidak
diiringi dengan kesombongan.” (Hadis riwayat Bukhari).
Dalam al-Quran turut dijelaskan agar tidak
makan secara berlebih-lebihan. Firman-Nya dalam surah al-Araf, ayat 31
bermaksud: “Makan dan minumlah dan jangan berlebih-lebihan.”
Adab makan yang diamalkan oleh Rasulullah
ialah makan apa rasa lapar (etika berpuasa memang kita berbuka ketika perut
sedang lapar) dan berhenti sebelum kenyang (ini jarang diamalkan kebanyakan
orang). Setiap kali menjemput makanan, hanya sedikit makanan yang diambilnya
dan menyuapnya ke dalam mulut dengan bukaan mulut yang sederhana.
Makanan perlu dikunyah sehingga lumat dan
baru ditelan. Cara itu dapat mengawal
nafsu makan dan mengelak daripada makan berlebih-lebihan. Makanan yang dikunyah
sehingga lumat dapat membantu sistem penghadaman bekerja dengan mudah, selain
memberi peluang untuk makanan bercampur dengan enzim yang dikeluarkan oleh air
liur.
Kunyah lebih lama juga membolehkan kita
menikmati makanan itu lebih sempurna. Jika makanan ditelan segera, maka nikmat
makanan berlalu cepat. Sedap atau tidak makanan ditentukan oleh deria lidah dan
bukannya di bahagian lain. Jadi, mengapa pula kita cepat menelan tanpa
mengunyah lebih lama?
Makan dengan gelojoh dan terlalu banyak
ketika berbuka akan memaksa sistem penghadaman bekerja dengan lasak secara
mengejut setelah ia berehat kira-kira 12 jam. Ini boleh menyebabkan sistem
penghadaman tidak dapat menjalankan fungsinya dengan sempurna.
Makan banyak bukan mendatangkan lebih
tenaga kepada badan. Sebaliknya, ia menyebabkan masalah kepada kesihatan dan
rohani. Kebanyakan orang yang berjaya dalam hidup mengamalkan cara makan yang
sihat dan memiliki kesihatan yang baik.
Luqman pernah menasihatkan anak-anaknya
dengan katanya: “Hai anakku, apabila perutmu telah penuh sesak dengan makanan,
tidurlah fikiranmu, kelulah hikmah (kebijaksanaan) dan berhentilah (malaslah)
segala anggotamu dari beriadat kepada Allah dan hilanglah kebersihan hati (jiwa)
dan kehalusan pengertian, yang dengan keduanyalah diperolehi kelazatan munajat
dan berkesannya zikir pada jiwa.”
Budaya menyediakan banyak makanan berbuka
mesti dihentikan. Berbukalah dengan
kuantiti makanan yang sederhana. Ambil makanan semasa berbuka sekadar yang
diperlukan oleh badan dan bukan yang dikehendaki oleh nafsu. Ia lebih menjimatkan dan menyenangkan. Fikiran
kita menjadi lebih tenteram tanpa dibebankan dengan kehendak nafsu yang ingin
itu dan ini.
Bulan Ramadan peluang untuk menambahkan
ibadat, bukannya bulan pesta makanan. Nafsu sentiasa menggalakkan kita
melakukan amalan yang bertentangan dengan suruhan agama. Membazir itu sebahagian daripada amalan
syaitan. Sedangkan syaitan telah bersumpah akan menyesatkan manusia agar
bersama-sama dengannya di dalam neraka pada hari akhirat nanti.
Ketika melaksanakan ibadat puasa inilah
peluang terbaik untuk kita meninggalkan amalan kesyaitanan, mengambil
kesempatan ketika syaitan dibelenggu dan takwa yang lebih tinggi berbanding
masa-masa lain. Proses pendidikan melalui ibadat puasa diharapkan dapat
diteruskan pada bulan-bulan lain.
Pakar pemakanan sentiasa menekankan kepada
makanan berkualiti dan bukannya mementingkan kuantiti. Kualiti termasuklah kaitan
cara makan yang betul dan kuantiti yang tepat. Pengambilan makanan yang tidak
baik menyebabkan masalah kesihatan kepada badan.
Soal kualiti dan kebaikan makanan telah
dijelaskan oleh dalam firman-Nya bermaksud: “Makanlah dari makanan yang
baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 57).
Makanan yang baik-baik dimaksudkan itu
turut merangkumi cara ia diperoleh atau sumber dari mana. Makanan yang
diperoleh secara mencuri, menipu, rasuah atau bercampur dengan unsur yang meragukan
dianggap tidak baik, biarpun secara biologinya mempunyai khasiat yang
baik.
Penyakit paling rapat dengan masalah lebih
makan ialah berat badan berlebihan. Masalah berat badan berlebihan menjadi
punca kepada berbagai penyakit berbahaya lain seperti lemah jantung, kencing
manis, darah tinggi dan penyakit berkaitan darah.
Cara terbaik mengelak berat badan
berlebihan ialah kurangkan makan. Jangan terjadi seperti sesetengah orang yang
menjadi lebih gemuk pada bulan Ramadan. Nafsu makannya melebihi daripada biasa,
terutama ketika berbuka.
Amalan berpuasa berkesan sebagai satu
kaedah perawatan dan menjaga kesihatan yang terbaik. Jika telah mengidap
penyakit, kita kena berpuasa sepanjang masa daripada memakan jenis makanan
tertentu. Contohnya, orang mengidap penyakit manis tidak berpeluang lagi untuk
memakan makanan yang manis.
Pepatah Arab ada mengatakan: “Perut itu
pangkal (punca) penyakit dan berjaga-jaga (berpantang) itu pangkal penawar.”
Dari sudut perubatan, sudah dibuktikan ia
melakukan pembentukan sel B limfosit yang membantu sistem pertahanan badan
melawan penyakit. Berpuasa adalah pengubahsuaian pola pemakanan. Ia juga
memberi peluang untuk sel dalam badan pulih daripada kerosakan hasil proses
perkumuhan bahan makanan.
Kajian Dr Jalila El Atidan yang diterbitkan
dalam Jurnal Nutrisi Klinikal Ogos 1995 mendapati berlaku peningkatan pemecahan
lemak dalam badan ketika berpuasa.
No comments:
Post a Comment