Saturday 16 September 2023

KES KESIHATAN MENTAL DI KELANTAN

 
Ambil serius Kesihatan Mental; Bertindak segera untuk selamatkan satu jiwa
Kabar duka di Negeriku serambi Mekah.
 
Seorang anak muda lelaki berusia 20-an cuba bunuh diri dengan terjun jambatan Sultan Yahya Petra jam 11 pagi jumaat lepas 15/9/2023.
 
Alhamdulillah dengan tindakan pantas pihak bomba maka pemuda ini berjaya di selamatkan. Hilanglah kedukaan keluarganya. Terima Kasih kepada orang ramai yang segera menghubungi talian kecemasan bomba dan penyelamat.
 
Lima hari sebelum ini pada 10 September 2023 seorang lelaki 40-an berjaya diselamatkan selepas terjun daripada jambatan Sultan Ismail Petra di Tendong. Beliau terjatuh di bahagian tanah di bawah jambatan. Beliau dikatakan menghadapi kemurungan. Walaupun beliau dikatakan pernah menagih dadah ujian dadah keatasnya mengikut laporan adalah negatif.
 
Pada 13 April 2023 masyarakat Bachok digemparkan dengan kejadian seorang ibu 30-an yang sedang berpantang 36 hari membunuh diri di rumahnya dengan menusuk pisau di leher.
 
Cabaran Gangguan dan Penyakit Kesihatan Mental adalah serius dan benar-benar berlaku termasuk di Negeri Kelantan. Jangan izinkan mana-mana pihak memandang ringan mahupun memperlecehkan isu ini dengan menganggap ianya isu terpencil.
 
Malah statistik Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan tahun 2017 melaporkan bahawa Negeri Kelantan mempunyai 39.1% rakyat mengalami masalah kesihatan mental, ketiga tertinggi selepas Sabah & Labuan (42.9%) dan Wilayah Persekutuan (39.8%).
 
Kesihatan mental juga amat terkait dengan risiko tingkah laku bunuh diri. Semasa pandemik Covid 19, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan ketara kes kematian akibat bunuh diri iaitu sebanyak 81 peratus kenaikan pada tahun 2021 (1,142 kes) berbanding tahun 2020 (631 kes).
 
Sememangnya Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Rakyat menjadi keutamaan kepada Kerajaan Perpaduan Madani. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan melebihi 400 juta dalam Bajet 2023 untuk Kesihatan Mental.
 
Antara Perkhidmatan KKM yang diumumkan Menteri Kesihatan YB Dr Zakiha Mustafa di Parlimen baru-baru ini merangkumi kemudahan seperti di bawah:
1. Perkhidmatan kesihatan mental disediakan di 1,161 klinik kesihatan, 58 buah hospital, 34 buah pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) dan empat institusi mental yang meliputi aspek promosi, pencegahan, pengesanan awal dan rehabilitasi.
2. Program Minda Sihat Sekolah yang dilaksanakan secara kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan yang meliputi saringan dan intervensi menggunakan Modul Minda Sihat (KPM) dan Modul Kesihatan Mental Remaja (KKM). Pelajar yang disaring dan dikenal pasti mengalami masalah emosi atau tingkah laku akan dirujuk untuk penilaian dan rawatan selanjutnya.
3. Program PEARL (Program Ekspresi Anak Remaja Lestari) –yang merupakan kolaborasi antara KKM dengan KPM bertujuan untuk meningkatkan kemahiran daya tindak (coping skills) dan daya tahan (resilience) dalam kalangan pelajar bagi menangani masalah seperti buli atau tingkah laku berisiko.
4. KKM juga telah mengadakan kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan Tinggi di dalam pelaksanaan Program Siswa Sihat (PROSIS) di universiti-universiti awam dan swasta yang turut mempunyai elemen saringan dan intervensi kesihatan mental.
5. KKM turut bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan dalam mempromosikan kesihatan mental melalui Hari Sukan Negara dan Hari Kesihatan Mental Sedunia. Selain itu, KKM juga berkolaborasi dengan Institut Penyelidikan Pembangunan Malaysia (IYRES) bagi pelaksanaan kajian berkaitan kesihatan
mental dalam kalangan belia.
6. Kolaborasi lain adalah bersama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam melaksanakan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di mana kaunselor kedua-dua Kementerian bekerjasama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang holistik.
7. KKM juga melaksanakan Kempen Let’s TALK Minda Sihat yang merupakan satu ‘smart partnership’ melibatkan agensi kerajaan serta pihak NGO dalam mempromosikan penjagaan kesihatan mental.
8. Selain itu, KKM turut melaksanakan latihan kepada sukarelawan-sukarelawan turut diperkasakan dengan ilmu bantuan awal psikologi melalui latihan kesihatan mental agar dapat.
 
Persoalan besar yang mahu ditanyakan adalah apa peranan Kerajaan Negeri dalam turut sama menangani masalah Kesihatan mental ini.
 
Mampukah pihak Berkuasa Kerajaan Negeri Kelantan bertindakbalas dengan sekurang-kurangnya menubuhkan satu jawatankuasa bertindak di bawah Exco Kesihatan dan yang berkaitan dengannya demi menyelamatkan nyawa rakyat sebagaimana pernah diumumkan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika masalah yang sama melanda negeri tersebut.
 
Perlukan dibincangkan kewajaran langkah memasang jaring keselamatan di jambatan utama sebagai langkah pencegahan cubaan bunuh diri dalam kalangan rakyat.
 
Yang utama isu ini perlu dipandang serius oleh pihak berwajib di negeri ini agar semua langkah-pangakah pencegahan dan perawatan serta pemulihan yang telah dirancang dapat benar-benar sampai ke akar umbi masyarakat.
 
Kesihatan Mental tanggungjawab kita bersama
Jom Cegah sebelum Parah.
Selamatkan Satu Jiwa
 
Dr Hafidzah Mustakim
ADUN Kota Lama

No comments:

Post a Comment