Thursday 20 July 2023

PEMIMPIN PERLU KUAT FIZIKAL MENTAL

 
Menjadi pemimpin satu tugas dan tanggungjawab yang berat. Banyak masa, tenaga dan fikiran diperlukan untuk menjadi pemimpin, lebih-lebih lagi kepimpinan peringkat tertinggi negara.
 
Sebab itu, sesiapa yang ingin menawarkan diri menjadi pemimpin perlu sedar dan insaf tentang kemampuan fizikal dan mental. Sepatutnya mereka yang sudah tua dan dibebani dengan pelbagai jenis penyakit perlu berundur daripada menjadi pemimpin.
 
Memang benar masih ada cita-cita atau perjuangan masih belum selesai menyebabkan masih ingin menjadi pemimpin. Ingatlah, dunia ini terus berpusing, sedangkan kita tidak mampu menongkat langit. Tiba masanya kita tinggalkan apa yang dicita-citakan.
 
Percayalah, apa yang kita cita-cita pasti akan ada orang meneruskan. Jadi, berilah peluang kepada golongan muda atau orang lain untuk merasai menjadi pemimpin. Mungkin pemimpin baharu itu mampu melakukan lebih baik berbanding pemimpin sebelumnya.
 
Jangan ada rasa sombong dan angkuh mengatakan hanya dirinya hebat dan boleh buat itu dan ini. Orang lain pun ada kelebihan dan kehebatan juga. Jangan siksa diri sendiri dengan melakukan perkara yang tidak mampu dilakukan lagi dari segi fizikal dan mental.
 
Jika keadaan kesihatan seorang pemimpin tidak mengizinkan ditambah pula dengan faktor usia terlalu tua, maka negara dan rakyat akan kerugian jika pemimpin dipilih dalam kalangan orang sakit dan terlalu tua.
 
Kalau masih ada kemampuan dari segi idea dan sesuatu gagasan mengenai sesuatu perkara, kongsikan kepada golongan muda. Bimbing dan bantu mereka untuk melakukan perkara itu.
 
Gabungan pemimpin lama dan baharu boleh mencetuskan aura yang baik untuk kepentingan negara dan rakyat.

Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment