Wednesday 26 July 2023

KEBURUKAN AMALAN BUANG HARGA

 
Buang harga bermaksudnya menjual produk yang sama jenis dan jenama di pasaran yang sama dengan harga berlainan.
 
Di dalam perniagaan pasaran terbuka, ini dipandang kejam dan sekali gus membunuh perniagaan orang lain. Kita percaya rezeki adalah rahsia Allah SWT. Kalau berniaga barang yang sama dan tempat yang sama, mengapa perlu meletak harga berlainan.
 
Berdasarkan kebiasaan strategi pemasaran, pengeluar akan menawarkan harga pada potongan 40 peratus hingga 60 peratus kepada pemborong utama atau pemborong kawasan berbanding harga jualan di pasaran atau yang dicatatkan di label. Manakala peruncit atau agen pula akan ditawarkan potongan sekitar 20 peratus hingga 30 peratus.
 
Jadi, wujud rangkaian pengedaran di situ. Pada setiap peringkat, ada pihak mendapat sedikit keuntungan.
 
Sekiranya pemborong menjual pada harga borong kepada pelanggan, yang sepatutnya harga itu diberikan kepada agen, maka secara tak langsung dia membunuh perniagaan agen. Pembeli tentu akan memilih untuk terus berurusan dengan pemborong.
 
Lebih malang lagi ada pengeluar yang memasarkan sendiri pada harga borong kepada pembeli runcit atau pengguna. Memang lebih parah dan kejam.
 
Tidak salah pengeluar dan pemborong untuk memasarkan terus kepada pengguna, tetapi pastikan harga yang ditawarkan adalah sama dengan harga pasaran atau lebih dikenali harga kotak.
 
Pengeluar dan pemborong kena ingat, perniagaan yang melibatkan jumlah besar tidak mampu dilakukan di peringkat pegeluar atau pemborong sahaja untuk menjual terus kepada pengguna. Ia perlu melalui rangkaian yang lebih meluas dan terus capai kepada pengguna, iaitu melalui agen atau peruncit.
 
Pengeluar tentu telah tetapkan harga yang boleh mencapai untung dengan mengedarkan kepada pemborong. Untungnya sedikit, tetapi dengan jumlah yang besar, untungnya tentu banyak juga.
 
Harga yang ditawarkan kepada pemborong pastinya dapat memberi keuntungan apabila dijual kepada agen. Sebagai orang tengah, sedikit keuntungan sudah memadai dan jumlahnya tetap besar apabila banyak agen membeli melaluinya.
 
Jadi, jangan amal buang harga. Berniagalah secara sihat. Bersama-sama kongsi untung. Keuntungan pengeluar kerana adanya pemborong, laba pemborong kerana ada agen dan agen pula mendapat rezeki dengan menjual kepada pengguna.

No comments:

Post a Comment