Sunday 8 March 2020

REMAJA PERLU MENJAGA MARUAH DIRI


Setiap orang sudah pasti mengimpikan kejayaan dalam setiap apa yang dilakukan. Tetapi untuk berjaya tidak beroleh hanya berpeluk tubuh atau mengharapkan kepada takdir semata-mata. 

Setiap orang yang ingin mencapai kejayaan hidup perlu menghadapi pelbagai rintangan sebelum mencapai kejayaan. Seperti kata pepatah; jika tidak dipecahkan ruyung masakan akan dapat sagunya.

Sesungguhnya hanya individu yang cekal, bijak, dan mempunyai cita-cita yang tinggi sahaja mampu melepasi rintangan untuk menuju ke puncak kejayaan.

Sebenarnya kejayaan dalam bidang apa sekalipun adalah nilai diri atau maruah diri seseorang. Individu yang berjaya, sentiasa mementingkan harga diri agar seiring dengan kejayaan yang dicapai. 

Sebaliknya, individu yang gagal mempertahankan maruah diri akan berdepan dengan pertentangan nilai hidup antara kejayaan yang dicapai, dan maruah yang tercalar yang secara langsung memberi kesan kepada keseluruhan hidupnya.

Sebab itu kerajaan amat menekankan kepada kecemerlangan yang seimbang dalam semua aspek. Falsafah Pendidikan Negara menetapkan matlamat untuk melahirkan individu-individu pelajar yang seimbang dari segi jasmani, rohani, intelek, dan emosi.

Ketika melalui usia remaja memang terdapat banyak perubahan yang berlaku dalam diri seseorang, terutama dari segi emosi, seks dan fizikal. Sebenarnya usia remaja adalah permulaan kepada membentuk personaliti. 

Kehidupan dalam usia remaja banyak dipengaruhi persekitaran; di mana tempat tinggal, dengan siapa berkawan, serta pengaruh media juga tidak kurang hebatnya. Penguasaan ibu bapa terhadap anak di peringkat usia remaja semakin berkurangan, melainkan jika sejak usia kanak-kanak lagi ibu bapa telah berjaya menerap amalan hidup berkeluarga yang kuat.

Remaja perlu mempunyai perancangan yang jelas dalam minda untuk meletakkan diri pada landasan yang betul menuju kehidupan dewasa yang berjaya berbekalkan pendidikan yang baik dan budi pekerti yang luhur.

Perancangan amat penting untuk menentukan kejayaan hidup. Sesiapa yang tidak menetapkan perancangan seolah berada di sebuah dunia khayalan. Remaja yang tidak mempunyai perancangan hidup mengisi masa remaja dengan aktiviti yang mereka fikirkan memberi kepuasan, tidak perlu bersusah payah, dan ikut apa sahaja kehendak hati.

Apa yang jelas, ramai remaja yang tidak mementingkan maruah hidup tanpa hal tujuan. Malah, mereka tidak memahami apa itu maruah. Bagi mereka maruah hanya dikaitkan dengan hubungan sesama mereka. Remaja mudah terasa tercabar jika dipermainkan sesama mereka. Pantang sahaja dicabar akan terus disahutnya.

Sebaliknya, mereka tidak ambil peduli jika yang menegur itu ibu bapa atau orang dewasa. Mereka menganggap orang dewasa tidak memahami perasaan atau jiwa remaja. Kononnya, zaman ketika ibu bapa melalui usia remaja dahalu tidak sama dengan zaman apa yang mereka lalui sekarang. 

Fenomena ini menjadi punca mengapa masalah moral remaja semakin meruncing. Dalam hal ini bukan ibu bapa dan orang dewasa tidak berperanan membentuk moral remaja ke arah kebaikan, tetapi remaja sendiri tidak mahu menerima apa yang difikirkan baik untuk mereka.

Dalam menilai diri, remaja perlu jujur mengenali diri sendiri. Kesilapan yang biasa berlaku ialah apabila individu tidak mengenali diri sendiri; yakni kelebihan dan kelemahan diri.  Sebab inilah menjadi punca mengapa remaja tidak merebut peluang yang baik untuk mereka.

Ahli falasafah Yunani yang terkenal, Aristotle pernah mengatakan bahawa kita menjadi apa yang selaku kita lakukan. Sekiranya kita ingin mencapai kecemerlangan, maka perlulah selalu melakukan apa yang membolehkan mencapainya. Sesungguhnya kecemerlangan tidak dapat dicapai dengan menggunakan jalan pintas yang mudah tanpa mengikut peraturan.  

No comments:

Post a Comment