Thursday 3 November 2022

HAL BERKAITAN AKTA HALANG LOMPAT PARTI

 
Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, dikuatkuasakan pada 5 Okt 2022.

Akta A1663 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos dan diwartakan pada 6 September 2022.

Akta itu diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 dengan sokongan majoriti seramai 209 Ahli Dewan Rakyat dan sokongan majoriti seramai 52 senator di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022.

Antara intipati akta tersebut ialah:
- Ahli Dewan Rakyat yang keluar dari parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza adalah terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat
- Keanggotaan seorang Ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keanggotaan dalam sesebuah parti politik tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan. Selain itu, keanggotaan seorang Ahli Dewan Rakyat juga merujuk kepada seorang Ahli Dwan Rakyat yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk sesuatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota parti gabungan itu (direct member of the coalition party)
- Keanggotaan Ahli Dewan Rakyat dalam parti gabungan tidak akan diambil kira kerana persoalaan dasar utama yang menjadi asas adalah keahlian seorang Ahli Dewan Rakyat dalam suatu parti politik
- Penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam undang-undang berkaitan dengan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti
- Mana-mana ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik atau mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas, akan terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi
- Ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya
- Pelepasan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat daripada parti politik apabila dipilih menjadi Yang Di-Pertua Dewan Rakyat tidak menyebabkan beliau terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat
- Pemecatan Ahli Dewan Rakyat dari keanggotaan dalam parti politik dikecualikan dari Ahli Dewan Rakyat terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat

No comments:

Post a Comment