Sunday, 2 June 2024

MEMBINA SEBUAH TAMADUN BANGSA

 
Semua kerajaan atau kelompok manusia pasti ingin menikmati keadaan atau suasana tamadun. Namun, mengejar pembangunan berbentuk fizikal tidak cukup untuk membina sesebuah tamadun. Kita juga dituntut untuk mengangkat mutu dan kualiti manusia supaya pembangunan yang dicipta seimbang.
 
Ini selari dengan definisi tamadun itu sendiri iaitu keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kema­ju­an kebendaan serta perkembangan pemikir­an (sosial, budaya, politik, dan lain-lain) yang tinggi.
 
Inilah takrifan tamadun yang benar-benar bahagia. Dalam era pascanormal hari ini, dimensi cabaran cukup berbeza.
 
Mengurus cabaran pascanormal menuntut sesuatu langkah yang kompleks. Dunia bergerak terlalu pantas. Banyak yang berubah dan memerlukan tindakan mengimbangi kesan buruk yang mungkin timbul.
 
Andai bukan kita yang tentukan masa depan sendiri, besar kemungkinan pihak lain yang akan mencatur untuk kita. Mereka bukan membawa kepada tamadun tetapi menjadi alat untuk mencapai matlamat mereka sendiri dan kebanyakan membawa kepada kehancuran bangsa.
 
Sejarah negara penting untuk kita hayati dan belajar tetapi jangan terlalu bernostalgia. Sejarah tidak membawa apa-apa erti jika tidak mengambil pengajaran mengenainya. Pengajaran bangun jatuh kerajaan dahulu perlu diambil pengajaran.  
 
Objektif kita adalah masa hadapan. Masa dahulu hanya kenangan. Marilah bersama-sama membina negara bangsa yang maju dan bermaruah.
 
Bagi membina tamadun manusia yang hebat memerlukan seluruh ummah menghayati dan seterusnya beramal dengan peringatan ayat al-Quran. Masa yang diberikan oleh Allah SWT sepatutnya dimanfaatkan bagi menambah kefahaman dan menggandakan amal ibadah serta amal soleh.
 
Kekuatan yang diperlukan oleh ummah ialah dengan berusaha menyatukan kembali pandangan hidup yang sebenarnya kerana laluan kehidupan ini sentiasa terdedah dengan ujian dan kepalsuan. Sebahagian manusia yang gagal memahami maksud dan tujuan di sebalik penciptaan Tuhan buat manusia pasti akan menghadapi kegagalan.
 
Justeru, syariat yang diturunkan Allah SWT hakikatnya mengangkat martabat dan darjat ummah, namun kegagalan untuk memanfaatkan kurniaan Allah SWT menyebabkan manusia tergelincir dari landasan yang benar.
 
Defisit nilai dan adab menjadikan matlamat untuk membina tamadun ummah yang hebat pasti tertangguh dan akan melalui fasa kehidupan yang malap. Kebijakan yang terungkap dalam maqasid syariah sepatutnya dicerakinkan oleh minda yang sihat serta disiplin ilmu yang mantap.
 
Namun, kehadiran segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menghakis nilai dan adab Islam pasti sedikit sebanyak menyebabkan ummah saling berbalah serta akhirnya Islam yang akan mendapat tempias dan diberikan persepsi salah oleh sebahagian masyarakat dunia seperti Islamophobia dan terrorist.

No comments:

Post a Comment