Amalan
bekam semakin meluas di Malaysia. Semakin ramai menyediakan khidmat sebagai jurubekam
selari dengan penerimaan masyarakat terhadap amalan bekam.
Bekam
dikaitkan dengan sunah Rsulullah SAW. Namun ada mengatakan ia sekadar diada-adakan
oleh mereka menyediakan khidmat berbekam untuk melariskan perkhidmatan yang disediakan.
Untuk
menjawab persoalan itu, kita lihat apa yang dijawab oleh pihak yang arif tentang
hukum agama.
Seperti
yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad Ijaj al-Khatib dari bukunya yang bertajuk “al-Sunnah
al-Nabawiyyah”, inilah jawapannya:
Di
sana terdapat banyak hadis yang menceritakan berkaitan berbekam, antaranya
ialah:
Daripada
Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda bermaksud: “Abu Thaibah membekam
Rasulullah SAW lalu Baginda SAW membayarnya dengan satu sha kurma dan Baginda
SAW mengarahkan keluarganya untuk meringankan pajaknya”. (Riwayat Bukhari)
Daripada
Abdullah bin Abbas: “Nabi SAW pernah berbekam oleh seorang hamba kepunyaan Bani
Bayadhah. Maka Nabi SAW memberinya upah dan Nabi SAW bercakap dengan tuannya
agar meringankan tugasnya”. (Riwayat Muslim)
Daripada
Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik perubatan
yang kalian gunakan adalah berbekam” atau “Sebaik-baik ubat untuk kalian adalah
berbekam”. (Hadis riwayat Tirmizi)
Daripada
Abdullah bin Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda: “Nabi SAW pernah berbekam di
lehernya dan juga di antara dua bahunya”. (Riwayat Ahmad).
Daripada
Abdullah bin Abbas, Bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Nabi SAW berbekam dalam
keadaan Baginda SAW berihram dan juga Baginda SAW berbekam ketika Baginda SAW
berpuasa”. (Hadis riwayat Bukhari).
Ulasan
ringkas berkaitan hadith-hadith berbekam:
Jumhur
ulama’ mengatakan dibolehkan mengambil upah untuk berbekam kerana
larangan yang terdapat di dalam hadith adalah berbentuk makruh bukannya haram.
Selain
itu juga, berbekam tidak membatalkan puasa jika ia dilakukan ketika berpuasa berdasarkan
hadith Ibn Abbas RA. Tambahan pula, berbekam juga merupakan sebaik-baik
perubatan sepertimana yang diberitakan oleh Nabi SAW kepada kita tetapi perlu
melihat pada penyakit yang sesuai untuk diubati dengan cara ini.
Hukum
berbekam
Terdapat
sebahagian para ulama mengatakan bahawa ia adalah sunnah secaea mutlak. Iaitu
sesiapa sahaja yang melakukan akan mendapat ganjaran samada ia berhajat padanya
ataupun tidak.
Namun
begitu, Dr. Ijaj al-Khatib berpendapat bahawa berbekam adalah satu tuntutan
terhadap sesiapa yang memerlukannya dan Nabi SAW juga telah mengatakan
sedemikian.
Jika
orang yang sakit berbekam dengan pembekam yang berautoriti kerana beramal
dengan apa yang dinasihatkan dan diajar oleh Nabi SAW maka perbuatan tersebut
akan mendapat pahala daripada Allah SWT tanpa syak lagi.
Adapun
bagi sesiapa yang tidak memerlukannya maka tidak akan mendapat pahala daripada
Allah SWT melainkan melakukannya hanya sekali seumur hidup disebabkan beramal
dengan hadith Nabi SAW yang sahih dan thabit seperti dilakukan oleh Imam Ahmad
bin Hanbal.
Tarjih
Kami
cenderung mengatakan sepertimana yang dinyatakan oleh Dr. Ijaj al-Khatib bahawa
berbekam adalah salah satu daripada teknik atau cara perubatan yang diamalkan
sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi.
Selain
itu, kepada sesiapa yang berhajat padanya maka tidak menjadi masalah dan akan
mendapat ganjaran di sisi Allah SWT. Manakala kepada sesiapa yang tidak
berhajat kepadanya maka tidak akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.
Ini
kerana, di dalam hadith menunjukkan bahawa Nabi SAW melakukannya apabila
Baginda SAW perlu dan bukan setiap masa.
Walapun
begitu, setiap orang mempunyai keselesaan dalam perubatan. Maka dengan itu,
setiap orang boleh membuat pilihannya sendiri selagimana ia tidak bertentangan
dengan syara’ dan Islam seperti bertemu bomoh dan perubatan yang berunsur
khurafat.
Islam
sangat meraikan dan menitikberatkan soal keselesaan setiap penganutnya agar
agama ini tidak dilihat sulit dan menyusahkan kerana ini bertentangan dengan
ciri-ciri agama ini iaitu memudahakan.
No comments:
Post a Comment