Sunday 11 April 2021

KAMPUNG PADANG BONGOR DAERAH PANJI

Banyak tempat dikenali dengan nama ‘bongor’. Salah satu ialah Kampung Padang Bongor, Daerah Panji, Jajahan Kota Bharu. Kampung Padang Bongor terletak kira-kira 2 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu.

Jika pengunjung dari bandar Kota Bharu melalui Jalan Tok Guru atau dahulunya dikenali Jalan Pengkalan Chepa, permulaan Kampung Padang Bongor ialah di pejabat Kastam Diraja Malaysia di sebelah kiri dan Kedutaan Thailand di sebelah kanan. Ia menganjur sehingga Kampung Tanjung Mas.

Nama Kampung Padang Bongor adalah merujuk kepada kawasan padang yang terdapat pokok bongor atau nama saintifiknya Lagerstroemia Floribunda. Ada mengatakan padang tersebut kini adalah tapak pejabat Kastam. 

Sesiapa ingin mengenali pokok bongor boleh berkunjung ke Sekolah Kebangsaan Islah. Terdapat beberapa batang pokok bongor di situ. Pun begitu, ia bukan pokok asal. Ia ditanam selepas sekolah itu dibina sekitar tahun 80-an.

Pokok bongor tergolong kategori pokok besar yang berbanir. Pokok bongor sesuai ditanam di halaman rumah pokok teduhan.

Keistimewaan bunga pokok bongor amat menarik berwarna ungu dan boleh tahan beberapa minggu. Bunganya kecil membentuk jambak. Bunga bongor berwarna ungu akan bertukar kepada putih apabila tua sebelum gugur meninggalkan buah.

Buah-buah inilah disemai dan dibiakkan untuk penanaman. Pokok bongor tidak boleh dibiakkan secara keratan batang mahupun secara tampang atau tut.

No comments:

Post a Comment