Monday, 13 February 2023

BERNIAGA PERLU TAWAKAL YANG TINGGI

 
Orang berniaga ini, mesti punya tawakal yang tinggi. Letak pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Letak pergantungan setelah kita berusaha dengan betul dan berdoa. Usaha sahaja tanpa doa sama seperti kita buat kerja sia-sia. Berdoa sahaja tetapi tidak berusaha, samalah juga seperti kita buat kerja yang sia-sia.
 
Orang berniaga, selepas buat semua perkara, rezeki yang datang tu masih belum tentu lagi. Tidak sama dengan orang makan gaji. Orang makan gaji, cukup bulan dia tahu akan ada wang dalam akaunnya. Tetapi itupun dengan izin Allah juga.
 
Dalam berniaga, perkara yang paling utama adalah barang yang kita jual itu sendiri. Mesti tidak boleh guna barang yang menipu (khasiat atau kegunaan atau keberkesanannya atau kualitinya atau apa sahaja yang tidak baik atau memudaratkan).
 
Kalau berniaga, jangan takut barang tak laku sampai kita jadi hilang malu untuk bercakap tentang perkara yang tidak perlu. Rezeki dalam “genggaman” Allah. Bukan manusia. Yakin dengan itu.
 
Berniaga, bukanlah tentang kaya. Cukup jika Allah berikan rezeki yang tidak putus. Syukur Alhamdulillah. Jangan kejar kaya hingga langgar banyak perkara dalam hidup. Jadi lupa dan leka.
 
Rasulullah SAW menjelaskan, kebaikan perlu direbut dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
 
Sabda Rasulullah SAW: "Tidak boleh hasad kecuali pada dua perkara, iaitu terhadap seseorang yang Allah anugerahkan harta, lalu dia gunakan harta itu pada jalan kebenaran, dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu dia amalkan ilmu itu serta diajarkannya kepada manusia lain." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Allah SWT menceritakan sikap Nabi Zakaria melalui firman-Nya: "Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami." (Surah Al-Anbiya, ayat 90)
 
Apabila kita lihat orang menjadi kaya. Kita belajarlah bagaimana untuk berjaya juga. Dan niatlah agar bila kita kaya nanti, kita boleh bantu orang lain dengan sebanyak mungkin. Tetapi janganlah diagung-agungkan dan disembah orang kaya itu. Sehinggakan yang tidak betul pun kita rasa betul.

No comments:

Post a Comment