Buang harga bermaksudnya menjual produk
yang sama jenis dan jenama di pasaran yang sama dengan harga berlainan.
Di dalam perniagaan pasaran terbuka, ini dipandang
kejam dan sekali gus membunuh perniagaan orang lain. Kita percaya rezeki adalah
rahsia Allah SWT. Kalau berniaga barang yang sama dan tempat yang sama, mengapa
perlu meletak harga berlainan.
Berdasarkan kebiasaan strategi pemasaran, pengeluar akan
menawarkan harga pada potongan 40 peratus hingga 60 peratus kepada pemborong utama
atau pemborong kawasan berbanding harga jualan di pasaran atau yang dicatatkan di label. Manakala peruncit atau agen pula akan
ditawarkan potongan sekitar 20 peratus hingga 30 peratus.
Jadi, wujud rangkaian pengedaran di situ.
Pada setiap peringkat, ada pihak mendapat sedikit keuntungan.
Sekiranya pemborong menjual pada harga
borong kepada pelanggan, yang sepatutnya harga itu diberikan kepada agen, maka
secara tak langsung dia membunuh perniagaan agen. Pembeli tentu akan memilih
untuk terus berurusan dengan pemborong.
Lebih malang lagi ada pengeluar yang memasarkan
sendiri pada harga borong kepada pembeli runcit atau pengguna. Memang
lebih parah dan kejam.
Tidak salah pengeluar dan pemborong untuk memasarkan
terus kepada pengguna, tetapi pastikan harga yang ditawarkan adalah sama dengan
harga pasaran atau lebih dikenali harga kotak.
Pengeluar dan pemborong kena ingat, perniagaan
yang melibatkan jumlah besar tidak mampu dilakukan di peringkat pegeluar atau
pemborong sahaja untuk menjual terus kepada pengguna. Ia perlu melalui
rangkaian yang lebih meluas dan terus capai kepada pengguna, iaitu melalui agen
atau peruncit.
Pengeluar tentu telah tetapkan harga yang
boleh mencapai untung dengan mengedarkan kepada pemborong. Untungnya sedikit,
tetapi dengan jumlah yang besar, untungnya tentu banyak juga.
Harga yang ditawarkan kepada pemborong
pastinya dapat memberi keuntungan apabila dijual kepada agen. Sebagai orang
tengah, sedikit keuntungan sudah memadai dan jumlahnya tetap besar apabila banyak
agen membeli melaluinya.
Jadi, jangan amal buang harga. Berniagalah
secara sihat. Bersama-sama kongsi untung. Keuntungan pengeluar kerana adanya
pemborong, laba pemborong kerana ada agen dan agen pula mendapat rezeki dengan
menjual kepada pengguna.
No comments:
Post a Comment