Wednesday, 29 January 2025

LABU SAYONG LAMBANG TRADISI PERAK

 
Perak terkenal dengan labu sayong. Labu sayong lambang tradisional bagi masyarakat negeri Perak.Jadi, tidak hairan jika replika labu sayong banyak dibina Perak. 
Labu Sayong ialah sejenis labu tembikar berbentuk labu air berwarna hitam dari Mukim Sayong, sebuah kampung yang terletak satu kilometer dari Kuala Kangsar, Perak. 
 
Barang tembikar ini diceritakan hasil inovasi daripada penggantian buah labu kosong yang digunakan untuk mengisi air dalam kalangan masyarakat setempat.
 
Perusahan membuat labu sayong banyak dijalankan masyarakat Kampung Kepala Bendang.
 
Dari kampung inilah perusahaan ini berasal kerana banyaknya sumber bahan mentah iaitu tanah liat khas yang dapat diperoleh dari kampung tersebut.
Perusahaan membuat labu sayong telah berkembang di kalangan waris asal pembuat tembikar ini ke sekitar perkampungan dalam daerah Kuala Kangsar.
Kebiasaan labu sayong diperbuat menggunakan tanah sebagai bahan binaan dan menciptakan barang mirip labu air daripada bahan yang sama.
 
Bentuk labu air ada juga diilhamkan daripada bentuk burung pucung berdiri yang dilihat dari hadapan.
 
Labu sayong mempunyai tiga bahagian utama yang mencembung iaitu "bibir", "leher" dan "badan" masing-masing melambangkan alam-alam atas, tengah dan bawah dalam kosmologi Melayu.
Bekas menyimpan air yang dihasilkan daripada tanah liat ini dibentuk dan diukir dengan teliti. Motif ukirannya banyak menjurus kepada unsur tradisional, khususnya bunga-bungaan seperti bunga tanjung, padi, senduduk, lawang, cengkih dan pucuk rebung.
Terdapat dua orang tokoh yang dikaitkan kuat dengan perintisan seni labu ini, Nila Hitam, seorang wanita Melayu kelahiran Kampung Kepala Bendang sendiri, dan Tok Kaluk, seorang pendatang pandai besi dari Minangkabau, Sumatera.
Aktiviti pembuatan ini dipercayai bermula pada kira-kira tahun 1810 semasa zaman Sultan Abdul Malik Mansur Syah.

No comments:

Post a Comment